Pages

Sunday, January 22, 2012

Jalan 130km cari perlindungan

Foto
HABIBAH bersama adiknya, Mohamad ditemui pada program bantuan makanan MERCY Malaysia di daerah Hamar Jajab, Mogadishu Somalia, semalam.


Remaja beratur seawal jam 8 pagi dapatkan bantuan makanan MERCY

MOGADISHU: Kira-kira enam bulan lalu, Habibah Adan, 15, menempuh saat sukar dalam hidupnya apabila terpaksa melarikan diri dari kampung halamannya di Tortoro ke Mogadishu untuk mencari perlindungan daripada kemarau, kebuluran dan konflik.
Untuk meneruskan hidup, Habibah dan keluarganya terpaksa berjalan kaki sehelai sepinggang selama tiga hari sejauh lebih 130 kilometer (km) untuk mencari perlindungan di kem penempatan dalaman (IDP) di Mogadishu.
“Kami berjalan dan terus berjalan sehinggalah makanan kami habis. Ayah dan adik juga jatuh sakit.

“Adik menangis lapar, tapi ayah tetap teruskan perjalanan,” katanya, sambil matanya mula berkaca.

Gadis genit itu ditemui penulis ketika sedang mengendong adik bongsunya, Mohamed Adan, 18 bulan, untuk menerima bantuan makanan sumbangan MERCY Malaysia dan Yayasan Keamanan Perdana Global (PGPF) di pusat pengedaran bantuan makanan Muslim Aid Somalia di Hamar Jajab di sini.

Habibah berkata, beliau terpaksa beratur seawal jam 8 pagi untuk mendapatkan bantuan makanan itu kerana ibunya, Khadijah Ibrahim, 42, terpaksa ke tempat lain, manakala bapanya, Adan Ahmad Omar, 60, kurang sihat.
“Empat lagi adik saya bersama ibu. Mereka akan datang sekejap lagi,” katanya sambil memegang kupon bantuan makanan berwarna biru tertera perkataan ‘sumbangan rakyat Malaysia’ dan logo MERCY Malaysia, PGPF dan Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

Seramai 1,000 keluarga dari lima kem IDP Hamar Jajab, Hodan, Holwadag, Medina dan Wabare menerima bantuan makanan 25 kilogram (kg) beras, 25kg tepung, 25kg gula, 3kg minyak masak dan 2.5kg susu tepung, yang mampu bertahan untuk tempoh sebulan.

Seperti penerima bantuan lain, Habibah juga terpaksa beratur panjang, sebelum dibenarkan masuk ke kawasan pusat pengedaran makanan yang dikawal ketat pengawal bersenjata dan anggota polis tempatan.

Penulis amat sayu apabila melihat mereka, kebanyakannya golongan ibu, melambai-lambaikan kupon itu ibarat memegang sesuatu yang amat bernilai sambil puluhan lagi pelarian dari kawasan lain hanya melihat dari jauh.

Lebih menyedihkan apabila penulis mendapat tahu, ramai kanak-kanak termasuk Mohamed yang kelihatan lemah digendong Habibah, rupa-rupanya masih belum menyentuh sebarang makanan, walaupun hampir jam 10.30 pagi.

“Terima kasih,” kata Habibah apabila penterjemah penulis meminta petugas di pusat makanan itu memberikan adiknya air mineral, sebelum kami berlalu untuk menemubual penerima bantuan lain sambil diekori seorang pengawal bersenjata.

Seorang penerima bantuan, Nimco Abdullah, 22, yang turut membawa bayinya yang berusia tujuh bulan, Mohamad Ali, berkata beliau amat berterima kasih dengan kesudian rakyat Malaysia membantu mereka.

“Hanya Allah akan membalas budi kamu,” katanya yang terpaksa berpisah dengan suaminya, Ali Abdul Ghadir, 23, yang mencari kerja di Somaliland, kira-kira 1,500km dari Mogadishu.

Penterjemah penulis, Abdirisak Yusuf Barre, 40, berkata kemiskinan dan kebuluran yang menyebabkan 370,000 rakyat Somalia menjadi pelarian, berpunca dari kemarau dan konflik perang saudara yang berpanjangan sejak 20 tahun lalu.

“Tiada duit, tiada makanan dan tiada kerja. Mereka lakukan apa saja untuk hidup,” kata guru bahasa Inggeris itu menegaskan negara ‘Tanduk Afrika’ itu memerlukan bantuan asing untuk bangun semula.

Laporan terkini Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Koordinasi Bantuan Kemanusiaan (OCHA) menunjukkan 250,000 rakyat Somalia masih diancam kebuluran, manakala 1.3 juta lagi menjadi pelarian IDP dan memerlukan memerlukan bantuan asing untuk terus hidup. 

No comments:

Post a Comment