Pages

Saturday, January 21, 2012

Gempa kuat di Manggarai dan Sangihe di Indonesia

JAKARTA 21 Jan. — Gempa bumi kuat berlaku di dua tempat berasingan iaitu di daerah Manggarai Barat, Nusa Tenggara Timur dan Kepulauan Sangihe, Sulawesi Utara awal pagi ini, namun pihak berkuasa berkata kejadian itu tidak membawa ancaman tsunami.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata, gempa bumi di Manggarai yang berkekuatan 6.3 pada skala Richter berlaku pada pukul 3 pagi dengan pusat gempa terletak di dasar laut pada kedalaman 124 km di kedudukan 48 km ke Barat Daya Manggarai Barat.
Gempa bumi selama tiga saat itu telah menyebabkan penduduk menjadi panik seketika namun aktiviti kembali normal tidak lama kemudian.
Dua jam selepas kejadian di Manggarai, satu lagi gempa bumi berkekuatan 5.7 pada skala Richter berlaku di Sangihe, dengan pusat gempa juga di dasar laut, berkedalaman 10 km, di 128 km ke Barat Laut Kepulauan Sangihe.
BNPB meminta penduduk di semua kawasan yang rawan gempa supaya terus meningkatkan kesiapsiagaan terhadap ancaman gempa bumi.
Kawasan itu termasuklah bahagian barat Sumatera, selatan Jawa, Bali, Nusa Tenggara, utara Papua, sekitar Sulawesi dan Maluku. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment