Pages

Wednesday, January 25, 2012

Calon pilihan raya Gabenor Aceh jalani ujian baca al-Quran

JAKARTA: Bagi melayakkan diri bertanding dalam pilihan raya Gabenor Aceh, tiga pasangan calon gabenor-timbalan gabenor menjalani ujian membaca al-Quran di Banda Aceh pada Selasa.

Dalam ujian yang dikendalikan Suruhanjaya Bebas Pilihan Raya (KIP) di Masjid Raya Baiturrahman itu yang dilakukan di khalayak umum dan disiarkan secara langsung menerusi siaran Radio Republik Indonesia (RRI) Banda Aceh, kesemua mereka lulus.
Ketiga-tiga pasangan calon itu ialah Zaini Abdullah-Muzakir Manaf dari Parti Aceh serta Fakhrulsyah Mega-Zulfinar dan Hendra Fadli-Yuli Zuardi Rais dari parti bebas.
Hakim dalam ujian bacaan al-Quran daripada Majlis Ulama Aceh dan Lembaga Pengembangan Tilawatil Quran (LPTQ) menilai peserta daripada segi cara membaca, adab membaca dan kefasihan bacaan.

Mereka harus mendapat sekurang-kurangnya 50 markah untuk lulus.

Kemahiran membaca al-Quran adalah syarat wajib bagi calon yang akan bertanding dalam pilihan raya gabenor dan timbalan gebenor serta calon pegawai daerah dan penolong pegawai daerah, sejak Aceh melaksanakan undang-undang syariah pada tahun 2003.

Ketiga-tiga pasangan calon yang menjalani ujian bacaan al-Quran semalam adalah calon yang baru mendaftarkan diri selepas KIP membuka semula pendaftaran sebagaimana perintah Mahkamah Perlembagaan Indonesia pada 17 Januari lalu.
Sebelum ini, KIP telah menerima pendaftaran empat pasangan calon untuk bertanding dalam pilihan raya itu, yang telah dijadualkan semula untuk diadakan pada 9 April.

Pasangan calon lain sudah pun lulus dalam ujian yang sama, selepas pendaftaran mereka. - BERNAMA Berita Harian Online | Calon pilihan raya Gabenor Aceh jalani ujian baca al-Quran:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment