Pages

Saturday, January 7, 2012

Barangan mangsa kapal Titanic dilelong April ini



Antara barangan yang ditemui dalam bangkai kapal Titanic di dasar laut iaitu jam, teropong dan rantai emas yang akan dilelong di New York, April ini. – AFP


NEW YORK 6 Jan. – Sebanyak 5,000 barangan berharga yang ditemui dari kapal penumpang kelas pertama Titanic yang tenggelam di Lautan Atlantik sejak seabad lalu, akan dilelong di New York pada April ini.

Koleksi barangan itu akan dilelong dalam satu lot oleh firma lelong Guernsey pada 11 April ini, sempena ulang tahun ke-100 kapal Titanic melakukan pelayaran pertama sebelum tenggelam di Newfoundland setelah terlanggar bongkah ais besar.

Presiden firma Guernsey, Arlen Ettinger menyifatkan acara lelong itu sebagai ‘detik bersejarah’ dan ‘ia merupakan satu-satunya jualan barangan bernilai dari bangkai kapal Titanic yang berada empat kilometer di dasar laut’.

Firma lelongan menganggarkan jualan kesemua barangan itu mencecah sehingga AS$189 juta (RM594 juta).

Barangan tersebut yang ditayangkan kepada umum semalam, merupakan kenangan pahit yang menyaksikan kira-kira 1,500 orang terbunuh apabila kapal itu tenggelam selepas belayar dari Southampton, England.

Ettinger berkata, kesemua barangan itu perlu dijual dalam satu lot untuk ‘mengabadikan memori kapal yang hebat itu’ dan ‘berharap generasi akan datang berpeluang melihatnya.’

Katanya, jualan itu ‘tertakluk kepada perjanjian dan syarat tertentu untuk memastikan barangan tersebut sentiasa dijaga dengan baik menjadi tontonan orang ramai’.

Antara barangan tersebut, termasuk set mencukur, permainan kanak-kanak, paip tembakau, dan butang tembaga yang dipakai oleh Kapten Edward Smith dan pegawai-pegawainya.

Terdapat juga barangan mewah yang akan dilelong seperti botol kristal dari kabin kelas pertama, lilin dari Restoran A la Carte, pinggan perak serta porselin biru dan emas.

Sisa-sisa bahagian kapal itu turut dilelong seperti kompas yang digunakan oleh pegawai pemerhati, lampu, wisel perak dan loceng. – AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment