Pages

Friday, January 13, 2012

30 minit detik cemas keluarga Wardina disamun


Wardina Safiyah bersama suaminuya, Ikhwan Johari menunjukkan barang yang diselongkar oleh perompak di rumahnya di Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 12 Jan. - Pelakon, model dan pengacara televisyen, Wardina Saffiyah Fadhlullah Wilmot bersyukur keluarganya terselamat dalam detik-detik cemas 30 minit mereka disamun tiga lelaki bersenjata di rumahnya di Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, tiga penjenayah tersebut yang bersenjatakan kayu panjang, skru dan pemotong besi mengumpil pintu belakang rumah teres dua tingkat tersebut sebelum naik ke atas.
Menurut Wardina Saffiyah, 33, suaminya Ikhwan Johari, 37, yang tidur bersama anak bongsunya, Imran Ar-Razi, 3, cedera apabila diketuk dengan sebatang kayu selain tangannya diikat.
Katanya, beliau yang tidur bersendirian kerana demam, di bilik utama di tingkat dua rumahnya itu, dikejutkan dengan bunyi bising tiga suspek yang menyelongkar barang berharga.
"Dua anak perempuan kami, Amna Nafeesa, 8, dan Azra Fareera, 5, pula tidur di bilik mereka, sebelah bilik utama sementara seorang saudara saya warga Aceh, tidur di tingkat bawah.
"Ketika tidur salah seorang penjenayah menarik selimut saya dan mengarahkan saya bangun. Bimbang diri saya dicederakan atau diperkosa, saya minta penjenayah itu mengambil apa sahaja barang-barang yang mereka mahu tanpa mencederakan keluarga saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Wardina kemudian meminta ketiga-tiga anaknya itu berkumpul di dalam selimut bersamanya selama tiga minit sambil membaca ayat Al-Quran dan berdoa agar Allah melembutkan hati penjenayah itu keluar segera dari rumah mereka.
Katanya, suspek yang menggunakan loghat Indonesia beberapa kali mengugut mereka supaya menyerahkan wang tunai dan barang kemas.
"Perompak tersebut seperti tidak berpuas hati apabila tidak menjumpai barang berharga di rumah itu selepas 30 minit menyelongkar rumah.
"Saya memang tidak suka memakai barang kemas dan kebetulan hanya memiliki cincin emas pemberian nenek," katanya.
Menurut Wardina, jiran yang terdengar bunyi bising telah menghubungi pengawal keselamatan yang kemudian memanggil kami sekeluarga dari luar rumah.
"Sebelum melarikan diri, suspek-suspek tersebut sempat menyamun dua buah komputer riba, sebuah iPad, empat telefon bimbit, cincin emas, sebuah kamera, kunci kereta dan wang tunai RM200 dengan jumlah kerugian dianggarkan RM20,000," katanya.
Wardina berkata, suaminya telah membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Hulu Klang pukul 4.30 pagi dan pihak forensik bersama Unit Anjing Pengesan (K9) juga membuat pemeriksaan.
Difahamkan, suspek telah melarikan diri ke hutan berdekatan sebelum keluar semula melalui jalan utama.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu siasatan sedang dijalankan.Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment