Pages

Thursday, January 26, 2012

25 premis diarah tanggal logo halal tak diiktiraf


PUTRAJAYA 25 Jan. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengadakan 126 operasi penguatkuasaan sijil halal di seluruh negara dan sepanjang operasi tersebut 25 premis makanan diarahkan mencabut logo halal yang dipamerkan di premis masing-masing.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd. Yusof berkata, 25 premis tersebut diarah berbuat demikian kerana menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf Jakim.

Menurutnya, seperti mana yang dikuatkuasakan 1 Januari lalu, hanya logo halal yang dikeluarkan Jakim boleh diguna pakai dan diiktiraf di seluruh negara.

Serentak itu, katanya, semua sijil halal sedia ada terbatal pada malam 31 Disember dan semua pihak perlu mengemukakan permohonan baru kepada pengeluar tunggal iaitu Jakim untuk dipamerkan di premis masing-masing.

"Keputusan itu sejajar dengan penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) dan Persijilan Halal yang telah diluluskan oleh Parlimen pada 11 Julai lalu bagi menggantikan Akta Perihal Dagangan 1972.

"Untuk logo halal ini, Jakim telah menguatkuasakan bermula 1 Januari lalu, bermakna selepas tarikh tersebut tidak ada lagi logo halal lain selain Jakim boleh digunakan, terutamanya di premis makanan dan restoran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Hakimah, premis yang berdegil tidak memohon sijil halal daripada Jakim akan dikenakan tindakan iaitu denda RM250,000 atau tiga tahun penjara bagi syarikat atau kedua-duanya sekali.

Bagi individu pula, denda tersebut berjumlah RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, katanya, sepanjang 126 operasi di seluruh negara, 25 premis yang didapati bersalah hanya diarahkan mencabut logo halal yang tidak diktiraf kerana dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini Jakim hanya bertindak memberi penerangan dan pendidikan.

"Buat masa ini, kami masih lagi dalam proses mendidik pengusaha premis makanan berhubung pentingnya memohon sijil halal Jakim dan memberitahu mereka tentang undang-undang baru ini. Bagaimanapun selepas tiga bulan, jika terus berdegil tindakan undang-undang seperti mana yang termaktub dalam APD 2011 akan dikenakan.

"Saya juga ingin menyeru kepada pemilik premis makanan agar membuat permohonan dengan segera bagi mendapatkan sijil halal, jika mereka memilih saat-saat akhir, ia akan menyebabkan kelewatan kerana pihak kami perlu membuat kajian spesifik untuk meluluskan sebarang permohonan," katanya.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment