Pages

Thursday, January 12, 2012

12 tahun tak makan nasi

SITI MAHANI  disuap adiknya, Siti Mashitah (kanan)  di Kampung Telong, Kandis, semalam.
SITI MAHANI disuap adiknya, Siti Mashitah (kanan) di Kampung Telong, Kandis, semalam.
Kanak-kanak istimewa hanya mahu jamah kuih bahulu cicah air suam

BACHOK: Sepanjang hidupnya, Siti Mahani Abdullah, 12, tidak pernah menjamah nasi, dan bergantung kepada kuih bahulu sebagai makanan rutinnya setiap hari serta mampu menghabiskan sehingga 35 biji bahulu dalam sehari.
Malah, kanak-kanak yang juga penghidap sindrom down dan bisu itu cukup berselera jika kuih tradisional kegemarannya dicicah dengan air suam dan disuap oleh ahli keluarganya.
Ibunya, Maznah Hashim, 44, berkata sebelum ini beliau dan suaminya sudah mencuba pelbagai jenis makanan untuk hidangan anak mereka, namun Siti Mahani hanya mahu memakan bahulu.

“Pernah neneknya menyuapkan kuih lain seperti akok, namun dibuangnya dan dia akan merengek untuk makan bahulu jika tiba waktu makan,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Telong, Kandis, di sini, semalam.

Disebabkan tabiat makan yang pelik itu juga gigi Siti Mahani dijangkiti karies gigi hingga semuanya giginya terpaksa dicabut.

Maznah memberitahu anaknya akan makan sekurang-kurangnya tiga kali sehari dan dia membelanjakan hampir RM100 sebulan bagi membeli bahan membuat bahulu seperti telur, gandum dan gula.
“Biasanya saya akan membuat 100 biji bahulu sehari dan disimpan dalam bekas bagi memudahkannya makan jika lapar.

“Malah, saya terpaksa belajar kemahiran membuat bahulu kerana sebelum ini membelanjakan RM50 sehari bagi membeli kuih ini,” katanya yang hanya mempunyai sebuah loyang membuat bahulu.

Selain kekurangan peralatan dan kos yang tinggi untuk membuat bahulu, keluarga berkenaan juga memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli keperluan Siti yang lain seperti lampin pakai buang dan susu tepung kerana beliau tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Bagi bapa kanak-kanak istimewa itu, Abdullah Hashim, 52, keunikan Siti Mahani yang juga anak keenam daripada sembilan beradik adalah anugerah daripada Tuhan yang diterima dengan reda dan syukur.

“Meskipun anak saya tidak seperti kanak-kanak lain, saya anggap ia ujian dan bersyukur kerana anak tidak ditimpa sebarang penyakit lain akibat pemakanannya,” katanya yang akan membawa anaknya menjalani rawatan bulanan di Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu. Berita Harian Online | 12 tahun tak makan nasi:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment