Pages

Saturday, December 24, 2011

Wanita Mesir berarak, kecam tentera biadab

Harakahdaily
KAHERAH, 24 Dis: Lebih 10,000 wanita Mesir turun ke jalanan sebagai membantah tindakan biadap dan kejam tentera terhadap wanita dalam satu insiden bantahan minggu lalu.

Laporan agensi berita AP menyebut, mereka berarak ke kawasan pusat Kahirah sambil mendesak para pemimpin tentera yang memerintah Mesir supaya meletak jawatan.

Ia merupakan satu perhimpunan besar yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

Perarakan itu sebagai menunjukkan kemarahan kaum wanita di negara itu terhadap satu insiden yang membabitkan sekumpulan askar yang menarik rambut para pembantah wanita, memijak-mijak mereka dan menanggalkan pakaian salah seorang daripada mereka dalam satu bantahan minggu lalu.

Protes dramatik itu bertambah besar awal semalam sedang para wanita itu berarak dari Dataran Tahrir ke kawasan pusat bandar.

Ia didorong oleh tersebarnya imej-imej yang menunjukkan penganiayaan terhadap para pembantah wanita minggu lalu.

Ramai daripada pembantah wanita itu membawa gambar seorang wanita muda yang ditanggalkan pakaiannya oleh askar sehingga menampakkan pakaian dalamnya, sedang beliau bergelut dengan para penyerangnya.

'Tantawi telanjangkanlah wanita anda, mari ikut kami,' laung para pembantah itu kepada orang ramai, sambil merujuk kepada Fil Marsyal Hussein Tantawi, ketua majlis tentera yang telah memerintah Mesir sejak 11 Februari lalu selepas penggulingan bekas presidennya, Encik Hosni Mubarak.

'Anak-anak perempuan Mesir adalah satu barisan merah,' laung para pembantah wanita itu lagi.

Semalam, gabungan pertubuhan wanita, Solidariti Wanita Prihatin Malaysia turut menyatakan bantahan dengan menyerahkan satu memorandum ke pejabat Kedutaan Mesir.

Penyerahan memorandum itu disertai Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud, AJK International Muslim Women Union (IMWU), Malaysia Azlin Hezri, wakil Empower Maria Chin Abdullah, Koordinator Solidariti Wanita Muda Malaysia (SWiMM), wakil Persatuan Mawaddah Malaysia (PMM) dan wakil Ameerah.

Memorandum mengandungi empat tuntutan itu diterima wakil kedutaan, Yasser Hashem di bangunan kedutaan itu di Jalan Rhu persiaran Ampang Hilir di sini.

Antara lain kandungan isi memorandum menyatakan desakan agar Ketua Tentera Mesir, Field Marshal Tantawi segera memohon maaf kepada wanita dan dua lelaki yang dipukul tersebut.

Mereka juga mahu Field Marshal meletakkan jawatan tertinggi tentera itu secepat mungkin.
Wanita Mesir berarak, kecam tentera biadab:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment