Pages

Tuesday, December 6, 2011

Suami melecur ditahan

myMetro | Suami melecur ditahan:
SIASAT...anggota polis menjalankan siasatan di rumah mangsa.
SIASAT...anggota polis menjalankan siasatan di rumah mangsa.
PERIKSA...anggota Unit Forensik polis membawa barang bukti.
PERIKSA...anggota Unit Forensik polis membawa barang bukti.

KUALA LUMPUR: Tanda tanya mengenai punca kebakaran di sebuah rumah di tingkat 15, Flet Desa Rejang, Setapak, di sini, semalam yang menyebabkan kematian seorang wanita berusia 34 tahun, terjawab apabila siasatan polis mendapati wujud unsur jenayah.

Difahamkan, unit forensik menemui dua botol petrol yang diletakkan di bahagian dapur dan ruang tamu rumah berkenaan yang secara tidak langsung menimbulkan keraguan mengenai punca kebakaran di kediaman itu.


Rentetan penemuan itu, polis menahan suami wanita terbabit berusia 56 tahun yang masih dirawat di unit kebakaran Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana melecur hampir 60 peratus badan dalam kejadian sama bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa dilaporkan menghidupkan dapurnya untuk memasak sebelum berlaku letupan yang menyebabkan kebakaran.


Menurut sumber, botol petrol itu diletakkan berhampiran kawasan memasak dan apabila wanita terbabit menghidupkan api dapur berkenaan, letupan kuat berlaku sebelum api menyambar tubuhnya.


“Ketika kejadian, suami mangsa berada di ruang tamu rumah dan bergegas menyelamatkan isteri sebaik mendengar jeritan wanita itu.

“Bagaimanapun, dia yang disambar api gagal berbuat demikian lalu menjerit meminta tolong,” katanya.


Sumber berkata, jiran yang mendengar jeritan pasangan terbabit masuk ke rumah berkenaan dan menyelamatkan mereka.

“Penduduk menghubungi polis dan bomba melaporkan kejadian itu,” katanya.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setapak, Suki Anuar mengesahkan ketika dia bersama pasukannya tiba di lokasi kejadian, api yang merebak itu sudah dipadamkan penduduk sebelum pasangan terbabit dikejarkan ke hospital.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan penahanan suami mangsa.


“Kami menahan suami mangsa bagi membantu siasatan selepas polis menemui dua botol petrol di rumah berkenaan. Penemuan botol petrol ini menimbulkan keraguan dan kami percaya ada unsur jenayah dalam kebakaran itu.


“Bagaimanapun, kami masih menjalankan siasatan dan percakapan suaminya (mangsa) akan dirakamkan selepas keadaannya stabil,” katanya.


Tambahnya, pihaknya masih mengumpul bukti bagi mengklasifikasikan kes itu dan semuanya bergantung kepada hasil siasatan.


No comments:

Post a Comment