Pages

Monday, December 12, 2011

Suami cemburu upah samseng belasah peniaga

myMetro | Suami cemburu upah samseng belasah peniaga:

DI SINI...Mohammad menunjukkan longkang tempat dia  ditinggalkan selepas dibelasah.
DI SINI...Mohammad menunjukkan longkang tempat dia ditinggalkan selepas dibelasah.

KAJANG: Akibat cemburu buta, seorang peniaga menerima lapan jahitan di kepala selain lebam dan bengkak di seluruh badan selepas dibelasah lebih 20 lelaki di gerai makan miliknya sebelum ditinggalkan dalam longkang beberapa meter dari tempat kejadian di Taman Kajang Mewah, di sini, Ahad minggu lalu.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, Mohammad Hanapiah, 49, sedang berniaga bersama anak lelakinya berusia 24 tahun sebelum didatangi kumpulan suspek terbabit.


Mohammad ketika ditemui semalam berkata, dia tidak menyangka kumpulan lelaki berlagak seperti pelanggan itu tiba-tiba bangun dan mengejarnya selepas menerima isyarat tertentu sebelum membelasahnya.

“Ada antara penyerang itu membawa parang serta kapak dan menetak kepala saya tanpa belas kasihan walaupun sudah tersungkur atas tanah.


“Lebih menyedihkan, mereka menengking dan menuduh saya meniduri isteri seorang daripada mereka di depan pelanggan dan orang ramai,” katanya.


Menurutnya, salah faham itu berlaku selepas dia yang juga pengerusi Pertubuhan Pengusaha Kios Melayu (PPKM) Hulu Langat cuba membantu isteri lelaki berkenaan mengenai hal perniagaan sebulan lalu.

Bagaimanapun, katanya, dia hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengerusi pertubuhan itu dan tidak menjalin hubungan sulit dengan wanita terbabit.


“Saya tidak faham mengapa dia menuduh saya menjalin hubungan sulit dengan isterinya sedangkan dia tahu kami hanya berhubung atas dasar perniagaan.

“Sedangkan berjumpa berdua dengan isterinya saya tidak pernah, inikan pula menjalin hubungan sulit,” katanya.


Menurutnya, dia pernah menemui suspek dan isterinya sebulan lalu bagi meleraikan salah faham itu dan menyangka masalah itu sudah selesai selepas saling bermaafan ketika itu.


Mohammad berkata, tindakan suspek menghantar samseng memukul dan memalukannya di khalayak ramai seperti itu keterlaluan.


“Kumpulan samseng itu bukan saja membelasah saya hingga separuh mati, malah turut melarikan wang hasil perniagaan saya RM1,600 serta dua telefon bimbit dan dompet saya,” katanya.


Sementara itu, isteri suspek dikenali sebagai Miza, 34, ketika dihubungi berkata, dia tidak pernah menjalin hubungan terlarang dengan mangsa.


“Hubungan antara kami hanya atas dasar pengerusi dan ahli pertubuhan, tidak lebih daripada itu. Mungkin berlaku salah faham antara suami saya dan mangsa, namun saya sangka semuanya selesai sebulan lalu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

No comments:

Post a Comment