Tarikh : December 29, 2011
Setahun lalu, penjual buah-buahan di Tunisia, Mohamed Bouazizi, 26, telah membakar dirinya sendiri selepas berputus asa dengan keadaan ekonomi di negara itu.
Dan berita tindakan berani matinya telah tersebar secara meluas di negara Afrika Utara, rantau Arab dan ke seluruh dunia.
Keberanian Bouazizi juga telah menjadi faktor utama yang mencetuskan kemarahan dan kebangkitan rakyat Tunisia pada awal tahun ini.
Dan hasilnya, kurang daripada sebulan, pemerintahan bekas presiden Zine el Abidine Ben Ali berjaya digulingkan.
Kebangkitan pertama rakyat itu didakwa telah merebak ke beberapa negara dan Mesir turut terkena tempias revolusi tersebut.
Pengarah di Pusat Brookings Doha, Salman Shaikh berkata, mereka seakan tidak percaya protes rakyat di Tunisia telah menjadi titik tolak kejayaan untuk menggulingkan pemerintahan rejim selama beberapa dekad.
Dalam satu kenyataan lain, aktivis Yaman, Ibrahim Mothana pula berkata, tindakan seorang penjual buah membakar diri di Tunisia dan penggulingan pemerintahan Ben Ali benar-benar mengejutkan penduduk di Yaman.
Selama lebih lapan bulan, mereka juga turut bangkit dan mengadakan protes menggesa Presiden Ali Abdullah Saleh untuk berundur daripada pemerintahannya selama 33 tahun.
Dan kini, Saleh sedang dalam proses untuk berundur selepas beliau menyerahkan kuasa kepada timbalannya, Abdrabuh Mansur Hadi mengikut perjanjian yang dipersetujui di bawah pelan damai Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
“Saya rasa tindakan Bouazizi telah meniup semangat baru kepada rakyat di seluruh rantau Arab,” menurut Shaikh.
Bouazizi bukanlah individu terkenal tetapi dia hanyalah seorang penjual buah yang bersusah payah menolak troli melalui jalan-jalan di Sidi Bouzid di tengah ibu negara bagi mencari rezeki dengan anggaran pendapatan AS$10 (RM32) sehari untuk menanggung keluarganya.
Tetapi lelaki tidak dikenali ini juga telah menjadi wira dalam kalangan penduduk di rantau Arab.
Insiden yang menjadi simbol kebangkitan rakyat Tunisia itu bermula pada pagi 17 Disember, tahun lalu selepas seorang pegawai majlis perbandaran menahan Bouazizi.
Tindakan majlis perbandaran merampas trolinya telah mencetuskan kemarahan lelaki tersebut kerana dia berasa telah dimalukan selepas gagal untuk berunding dengan mereka.
Kerana terlalu marah, Bouazizi bertindak membeli minyak dan menyiram ke seluruh tubuhnya sebelum dia membakar diri di luar bangunan pentadbiran gabenor.
“Pemeriksa majlis perbandaran ini sengaja merampas barang jualan kami supaya mereka boleh meminta rasuah. Tindakan kejam mereka telah menyebabkan Bouazizi membakar dirinya,” dedah pakcik kepada Bouazizi, Ridha yang turut bekerja sebagai penjual buah.
Pada masa itu juga, protes penduduk mula berlaku di Sidi Bouzid dan akhirnya merebak ke beberapa bandar di seluruh negara.
Dalam masa beberapa minggu, wira Tunisia tersebut akhirnya meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah yang dialaminya pada 4 Januari lalu.
Profesor di Universiti Pennysylvania dan Universiti Amerika di Beirut, Marwan Kraidy berkata, Bouazizi adalah pemangkin kepada revolusi Tunisia, sekali gus menjadi faktor utama kejayaan kebangkitan rakyat Mesir.
“Insiden revolusi di Tunisia itu menjadi berita hangat kerana telah mendapat perhatian media antarabangsa. Setiap kali petugas media membuat liputan, pasti pendengar,pembaca dan penonton akan mengingati peristiwa seorang penjual buah yang membakar dirinya,” menurut beliau lagi.
Bouazizi telah menjadi simbol rakyat yang sudah muak dengan penindasan dan ketidakadilan kerajaan.
Seorang wartawan tempatan, Zied Mhirsi berkata, kisah Bouazizi itu sepatutnya dijadikan pengajaran tetapi masih ada kerajaan yang memilih tindakan kekerasan sebagai jalan penyelesaian terhadap penunjuk perasaan,” jelasnya.
Mhirsi menegaskan kerajaan sebenarnya tewas dalam pertempuran apabila mereka menggunakan peluru dan senjata api untuk bertempur dengan rakyat.
Sementara itu, penyelidik Hak Asasi Manusia di Afrika Utara, Eric Goldstein berkata, terdapat juga insiden bakar diri lain yang mungkin menjadi pemangkin kepada kebangkitan rakyat tetapi kisah Bouazizi lebih menarik perhatian kerana ia melibatkan ketidakadilan dan gangguan pihak berkuasa.
“Bouazizi adalah sebahagian daripada generasi muda dari kawasan pedalaman yang tidak dapat melihat masa depan mereka. Golongan ini menjadi objek penghinaan sesetengah pihak,” menurutnya.
Bouazizi dilihat sebagai individu yang berjuang dan cuba untuk melakukan perkara dengan betul walaupun tindakan tersebut telah mengorbankan dirinya.
Dia tidak dilahirkan di dalam puak berhaluan kanan atau golongan elit untuk mengikut telunjuk kerajaan diktator di bawah pimpinan Ben Ali.
Bulan lalu, keberanian dan semangat Bouazizi sebagai pencetus revolusi di rantau Arab turut diiktiraf di peringkat antarabangsa dan dia terpilih dalam kalangan lima penerima Hadiah Sakharov Parlimen Eropah untuk Kebebasan Pemikiran.
Si penjual buah kini telah mencatat sejarah baru dalam revolusi di Tunisia dan akan menjadi wira selama-lamanya di hati rakyat di seluruh rantau Arab.
'via Blog this'
Wahai si penjual buah
ReplyDeleteaku tak di sana
kala kau adu
jerih perih
kau benar derita
kalau tidak
masakan kau rela
pergi demikian rupa
sungguh
aku bingung
tiada polan
bisa bantu
bisa kurang
beban kau rasa
namun kaulah
penyemarak api
pencetus revolusi
moga di sana
kau bisa bahagia.