Pages

Friday, December 30, 2011

Pemerhati Liga Arab terancam



BEIRUT 29 Dis. - Pasukan pemerhati Liga Arab di Syria berdepan dengan kumpulan penunjuk perasaan yang marah, tembakan senjata api dan letupan pada hari kedua misi mereka di Homs, semalam.
Homs, merupakan bandar yang menjadi nadi pemberontakan selama sembilan bulan menentang Presiden Bashar al-Assad.
Satu video yang dimuat naik oleh aktivis menunjukkan penunjuk perasaan mengelilingi kereta pasukan pemerhati sambil melaung-laungkan 'sesiapa yang membunuh rakyat sendiri adalah pengkhianat'.
Dalam satu lagi video lain, anggota pemerhati yang berpakaian kalis peluru berwarna oren berlari mencari perlindungan di sebalik sebuah bangunan apabila kedengaran bunyi tembakan dan letupan.
Kedua-dua video terbabit tidak dapat disahkan ketulenannya kerana kebanyakan wartawan asing dilarang membuat liputan di Syria.
Pasukan pemerhati Liga Arab dikerah ke Syria bagi memastikan Assad menunaikan janjinya untuk mematuhi pelan damai dan menamatkan kekacauan yang boleh menjerumuskan negara ini kepada perang saudara.
Ketua misi, Jeneral Mohamed Ahmad Mustafa al-Dabi berkata, beliau tidak melihat sesuatu yang memeranjatkan pada hari pertama pemerhatian.
Namun, Perancis menyelar kenyataan Mustafa itu sebagai tidak matang dan mendesak Syria memberi kebenaran penuh kepada pasukan pemerhati terbabit untuk menjalankan tugas.
Mustafa turut meminta kumpulan aktivis Syria supaya memberi lebih masa kepada pasukannya.
Katanya, misi tersebut memerlukan masa kira-kira seminggu untuk memastikan Assad mengundurkan tentera dan kereta kebal, membebaskan tahanan dan memulakan perbincangan dengan pembangkang.
Damsyik, semalam turut membebaskan 755 tahanan, manakala beribu-ribu lagi dilaporkan masih ditahan. - REUTERS

No comments:

Post a Comment