Pages

Thursday, December 8, 2011

Empangan terbesar dibuka

myMetro | Empangan terbesar dibuka:

PHNOM PENH: Kemboja yang dilanda masalah kekurangan bekalan elektrik membuka empangan hidroelektrik terbesarnya semalam walaupun mendapat kecaman kumpulan pencinta alam sekitar.
Mendapat pembiayaan dari China, projek bernilai RM375 juta itu menghasilkan bekalan elektrik sehingga 194 megawatt dan dibina di wilayah Kompot.

Menurut Perdana Menteri, Hun Sen, pembukaan empangan itu adalah “detik bersejarah” dalam pembangunan Kemboja.
Sambil mengetepikan kebimbangan aktivis alam sekitar tempatan dan antarabangsa, Hun Sen berkata, kesan daripada pembinaan empangan itu “dikaji dengan teliti” sebelum dilaksanakan.

Ia juga, katanya, membolehkan harga bekalan elektrik kepada orang ramai, terutama di Phnom Penh, diturunkan.

“Tiada sebarang pembangunan yang tidak memberi impak kepada alam sekitar,” katanya dalam ucapan disiarkan radio kerajaan.
Hun Sen juga menggesa aktivis alam sekitar yang “ekstrem” supaya melihat hutan di negara itu secara keseluruhan, bukannya secara “sebatang demi sebatang pokok.” Aktivis alam sekitar berpangkalan di Amerika Syarikat, International Rivers, mendakwa Empangan Kamchay itu memusnahkan ratusan hektar hutan dan tanah pertanian.

Pertubuhan itu juga memberi amaran, ia memberi kesan negatif terhadap industri perikanan dan kehidupan orang awam.
Pengarah Asia Tenggara International Rivers, Ame Trandem, berkata penilaian kesan alam sekitar tidak mendapat tempat dalam keputusan pembinaan empangan itu.

“Sebagai empangan besar pertama di Kemboja, kami berharap projek ini tidak menjadi contoh perancangan pembangunan tenaga di negara ini pada masa depan,” katanya.

Kira-kira satu pertiga penduduk Kemboja belum mendapat bekalan elektrik.

Sembilan lagi empangan, termasuk sekurang-kurangnya empat dibiayai China, dijangka beroperasi menjelang 2019. Apabila semua empangan beroperasi, ia menjana 2,045 megawatt elektrik untuk seluruh negara itu. - AFP

No comments:

Post a Comment