Pages

Sunday, December 25, 2011

Krismas hambar di selatan Filipina


PENDUDUK yang hilang tempat tinggal akibat ribut Washi berlindung di
khemah-khemah sepanjang sebuah lebuh raya di Iligan,
selatan Filipina kelmarin.

CAGAYAN DE ORO, Filipina - Berpuluh-puluh ribu orang di selatan Filipina terpaksa menyambut Hari Krismas hari ini di beberapa buah sekolah dan gimnasium yang beroperasi sebagai pusat perlindungan sementara selepas banjir kilat yang dibawa ribut tropika Washi menyebabkan 1,000 orang maut manakala 1,000 lagi masih hilang.
Ketika petugas-petugas kerajaan menemui lebih banyak mayat susulan bencana alam tersebut, seorang datuk bandar tempatan memberitahu mereka yang kehilangan tempat tinggal bahawa 'tiada sambutan Krismas' pada tahun ini.
Ketika ini, puluhan ribu mangsa terpaksa bersesak di pusat-pusat perlindungan sementara dengan berdepan kekurangan air serta bekalan asas lain.
"Tiada sambutan Krismas tahun ini," kata Datuk Bandar ini, Vicente Emano semalam ketika ditanya sama ada beliau akan menyampaikan ucapan sempena Hari Krismas seperti sebelumnya.
Washi membawa hujan lebat yang menyebabkan air sungai melimpah seterusnya mencetuskan banjir kilat yang menenggelamkan kampung-kampung di tebing sungai di bandar pelabuhan ini dan bandar Iligan Sabtu lepas.
Ribut tropika dan banjir tersebut menyebabkan sekitar 330,000 orang hilang tempat tinggal dengan 69,000 lagi tinggal di beberapa pusat perlindungan sementara.
Emano sehubungan itu berkata, para pekerja bandar ini dan anggota penyelamat akan bekerja sepanjang musim cuti Krismas untuk mencari mayat mangsa-mangsa ribut Washi selain membantu mereka yang berpindah dari kediaman masing-masing
Menurutnya, dua kubur besar telah digali bagi menanam ratusan mangsa yang terkorban dalam bencana tersebut. - AFP
Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment