Pages

Monday, December 19, 2011

Israel bebaskan 550 pejuang Palestin

TEL AVIV 18 Dis. - Israel membebaskan 550 pejuang Palestin hari ini pada peringkat kedua pertukaran tahanan dengan pergerakan Hamas yang memerintah Genting Gaza.

Pada peringkat pertama pada pertengahan Oktober lalu, Israel membebaskan 477 pejuang Palestin, ramai antaranya menjalani beberapa hukuman penjara seumur hidup, sebagai pertukaran dengan Gilad Shalit, askar Israel yang ditahan oleh Hamas di Gaza selama lebih lima tahun.

Kumpulan tahanan yang dibebaskan hari ini dianggap kurang tegar dan tiada seorang pun daripada mereka yang menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Kebanyakan mereka adalah anggota sayap bersenjata pergerakan Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Majoriti tahanan itu dijadual dihantar ke Tebing Barat selepas dibawa ke sebuah pangkalan tentera Israel dekat Ramallah.

Kira-kira 40 tahanan dibawa ke pintu sempadan Kerem Shalom sebelum menyeberang ke Genting Gaza.

Dua tahanan berasal dari Baitulmaqdis Timur dan dua lagi dari Jordan menyeberangi Jambatan Allenby yang menjadi sempadan dengan Jordan, ke timur Israel.

Mahkamah Agung Israel lewat semalam menolak petisyen yang dikemukakan oleh ahli keluarga kepada rakyat Israel yang terbunuh dalam serangan pejuang Palestin, supaya pembebasan itu dihalang.

Mahkamah memutuskan, isu tersebut mempunyai implikasi politik dan keselamatan, dengan itu merupakan keputusan kerajaan yang tidak akan disekat oleh mahkamah. - DPA

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

No comments:

Post a Comment