Pages

Tuesday, December 20, 2011

Iran kecam negara Arab

 TEHERAN: Presiden Mahmoud Ahmadinejad semalam berkata, tindakan negara Arab terhadap Syria ‘umpama lawak jenaka’ meskipun terdapat tanda-tanda menunjukkan Damsyik hampir akur kepada desakan Liga Arab untuk membenarkan kemasukan pemerhati.

“Beberapa negara serantau melaksanakan tindakan seperti itu yang dianggap Iran lebih kepada lawak jenaka,” kata Mahmoud, dipetik oleh agensi berita IRNA.


“Beberapa negara serantau yang tidak pernah mengadakan pilihan raya, bersatu dan meluluskan ketetapan terhadap negara lain dengan bertanya: ‘Mengapa anda tidak mengadakan pilihan raya?” Kritikan itu dibuat ketika ada tanda-tanda menunjukkan Syria mungkin akan membenarkan pemerhati asing untuk mengawas satu perjanjian tajaan Liga Arab yang bertujuan menamatkan pertumpahan darah yang berlaku sejak sembilan bulan lalu.

Seorang diplomat Arab di Mesir berkata, Timbalan Menteri Luar Syria, Faisal al-Maqdad dijadual menandatangani perjanjian itu semalam.


Sumber Lapangan Terbang Kaherah mengesahkan Faisal sudah tiba di ibu negara Mesir itu.


Liga Arab bulan lalu menggantung keanggotan Syria dan mengenakan sekatan terhadap negara itu kerana enggan membenarkan kemasukan pemerhati.


Syria, awal bulan ini, akhirnya berkata, ia akan membenarkan kemasukan misi itu, dengan syarat sekatan ditarik balik. - AFP

No comments:

Post a Comment