Pages

Monday, December 19, 2011

Iran berjaya godam pesawat drone AS



GAMBAR dipetik dari imej televisten Iran, Press TV pada 8 Disember lalu menunjukkan pegawai Iran bersama pesawat drone RQ-170 Sentinel yang berjaya digodam dan mendarat di Iran pada 4 Disember lalu. - AFP


WASHINGTON 18 Dis. - Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan tentera Amerika Syarikat (AS) menghadapi masalah keselamatan yang serius jika dakwaan seorang jurutera Iran terbukti benar.

Jurutera yang diwawancara oleh Christian Science Monitor itu menggambarkan dengan terperinci bagaimana sepasukan pakar negaranya menggodam Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS) sebuah pesawat drone AS dengan tujuan untuk menawannya.

Itulah pesawat sama yang didakwa oleh kerajaan AS telah mendarat di wilayah Iran pada awal bulan ini disebabkan kerosakan.

Pakar Iran dilaporkan mendapati kelemahan drone RQ-170 Sentinel itu ialah GPSnya dengan memeriksa drone-drone Amerika yang jatuh pada September lalu.

Berdasarkan maklumat itu, mereka memasang perangkap untuk sebuah drone yang menjalankan pengintipan di ruang udara Iran.

"Dengan mengganggu sistem komunikasinya, kami memaksa pesawat itu terbang dengan 'autopilot' dan di sinilah pesawat kehilangan 'otaknya'," katanya.

Pasukan Iran kemudian memprogramkan drone itu supaya 'mendarat dengan sendiri di lokasi yang mereka kehendaki'.

Jurutera itu berkata, seluruh proses itu semudah menggodam sebuah akaun Google.

Kajian pada 2003 mengenai kelemahan GPS menunjukkan tentera AS tahu tentang masalah itu sejak hampir sedekad lalu, dan jika benar sistem GPS RQ-170 dalam tangan Iran itu digodam, ini bermakna kelemahan tersebut belum dibaiki. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

No comments:

Post a Comment