Pages

Friday, December 2, 2011

Iran bebas 11 gempur kedutaan

Pemimpin puji tindakan geledah misi diplomatik Britain di Tehran

TEHRAN: Iran membebaskan 11 pelajar yang menyerbu dan menggeledah kedutaan Britain di sini minggu ini malah ada pemimpinnya yang memuji perbuatan mereka, lapor agensi berita Fars, semalam.
Pelajar terbabit dibebaskan lewat kelmarin, sehari selepas ditahan kerana menyerbu masuk dan menggeledah kawasan diplomatik itu.
Tiada penjelasan diberi kepada pembebasan itu. Mengikut undang-undang Iran, tindakan merosakkan hartanah boleh menyebabkan seseorang itu dipenjara sehingga tiga tahun. Agensi berita menganggap 11 orang terbabit dilindungi orang berpengaruh dalam kerajaan Iran.

Menteri Luar Britain, William Hague mendakwa pelajar berkenaan ada hubungan dengan pertubuhan Basij yang bersekutu dengan Pengawal Revolusi Iran. Basij banyak merekrut anggotanya di kampus universiti.

Hague memberitahu Parlimen, ruang kediaman kakitangan dan dutanya di negara itu digeledah dan ada barangan peribadi diplomat dicuri.

Presiden Mahmoud Ahmadinejad masih mendiamkan diri atas kejadian itu manakala Kementerian Luar meminta maaf.
Wakil pemimpin agung Iran, Mohammad Mohammadian, memuji penyerang sambil menyifatkan mereka menyasar ‘ibu pejabat penghasut.’

Speaker Parlimen Iran, Ali Larijani berkata: “Penduduk berang selepas Britain menunjukkan sikap cuba menjajah mereka sejak beberapa dekad lalu.”

Serbuan ke atas kedutaan itu berlaku dua hari selepas Parlimen Iran mengundi untuk mengurangkan hubungan dengan Britain selepas menyertai usaha Amerika mengenakan sekatan ke atas Tehran.

Sebelum serbuan dibuat, ia mulai dengan satu perarakan di luar kedutaan di Tehran bagi mengutuk sokongan Britain ke atas sekatan itu.

Insiden itu juga menyebabkan Iran semakin terasing selain menegangkan hubungan dengan negara Barat.

Britain kemudian memanggil pulang semua diplomat dari Iran, menutup misi diplomatik itu sebelum mengusir semua diplomat Iran dari negara itu dalam masa 48 jam.

Turut memanggil pulang duta mereka dari Iran termasuk Jerman, Perancis dan Belanda sebagai menyokong tindakan Britain. – AP
Berita Harian Online | Iran bebas 11 gempur kedutaan:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment