Pages

Thursday, December 1, 2011

Gelisah tanam janin

SEBERANG JAYA: “Saya curiga dengan kelibat seorang lelaki mengorek tanah, manakala seorang wanita pula yang berada berdekatan kelihatan gelisah sambil memerhati kawasan sekeliling.

“Ketika itu saya hanya memerhati gerak-geri mereka dari jauh sebelum mengejutkan suami yang sedang tidur,” kata seorang wanita yang menemui janin yang ditanam berhampiran kawasan tebing sungai di Lorong Tenggiri 10, di sini, petang kelmarin.


Menurutnya, dia ternampak kelibat pasangan terbabit yang ke kawasan itu dengan menaiki sebuah motosikal kira-kira jam 3 petang.

Katanya, pada mulanya dia tidak mengesyaki sesuatu tetapi apabila melihat lelaki mengorek tanah dengan menggunakan penyodok seperti dalam keadaan tergesa-gesa menyebabkan mula mencurigai sesuatu.


“Gerak-geri lelaki berkenaan dan wanita yang berbaju kurung itu sungguh mencurigakan menyebabkan saya mula berasa ada sesuatu yang buruk dilakukan mereka itu.


“Saya dapat lihat pasangan berkenaan berusia dalam lingkungan 20-an berada di kawasan itu dalam tempoh kira-kira 20 minit sebelum beredar dengan menaiki motosikal,” katanya.

Menurutnya, perasaan ingin tahu menyebabkan dia dengan ditemani suami pergi ke tempat tanah dikorek itu.


Katanya, dia kemudiannya mendapati terdapat kesan timbus dan ada dua batang kayu dipacakkan di tanah itu.

“Suami saya mengorek tanah berkenaan dan terkejut apabila menemui janin cukup sifat tertanam di situ. “Menggeletar kami berdua dan tidak menyangka melihat janin yang ditanam oleh pasangan terbabit,” katanya.


Menurutnya, dia kemudiannya terus menghubungi polis bagi memaklumkan mengenai penemuan janin terbabit.


Katanya, dia dan suaminya terus menjaga janin itu agar tidak dimakan oleh kucing dan anjing yang banyak berkeliaran di kawasan berkenaan sementara menunggu ketibaan anggota polis.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan awal mendapati janin dipercayai berusia dalam lima bulan.

myMetro | Gelisah tanam janin:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment