Pages

Saturday, December 3, 2011

Empat rumah setinggan musnah dijilat api



Salah sebuah rumah setinggan yang musnah dalam kebakaran di Kampung Jawa Lanut, Tawau kelmarin.


TAWAU 2 Dis. - Seorang wanita yang baru kematian suami tidak dapat menahan tangisan apabila rumah yang didudukinya di Kampung Jawa Lanut dekat sini musnah dalam kebakaran melibatkan empat buah rumah setinggan, semalam.

Normah Semang, 51, berkata, kebakaran itu disedarinya apabila mendengar suara bising orang ramai yang berusaha menyelamatkan diri setelah rumah masing-masing terbakar.

Katanya, dia hanya sempat menyelamatkan diri dan sebuah beg sandang miliknya ketika api mula marak di rumah jiran berdekatan.

Menurutnya, semua barang lain tidak dapat diselamatkan kerana dia berada dalam keadaan panik dan hanya fikir untuk menyelamatkan diri sahaja ketika itu.

"Makcik sedih kerana rumah yang pernah diduduki bersama arwah suami musnah dalam kebakaran ini. Namun makcik bersyukur kerana dapat menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.51 petang dan dua jentera dikerahkan untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Menurutnya, seramai 17 anggota bertungkus-lumus memadamkan api yang menjilat rumah-rumah tersebut dan ia berjaya dikawal pada pukul 3.15 petang, sebelum dipadam sepenuhnya setengah jam kemudian.

"Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Punca kebakaran masih disiasat," katanya.

Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment