Pages

Saturday, December 10, 2011

Belanda minta maaf tragedi Rawagede

Kosmo! Online - Dunia:



BALU dan saudara-mara kaum lelaki yang terbunuh dalam pembunuhan beramai-ramai menghadiri majlis memperingati tragedi itu di Rawagede, Jawa Barat semalam.- AP


RAWAGEDE, Indonesia – Kerajaan Belanda secara rasmi memohon maaf berikutan tragedi pembunuhan beramai-ramai penduduk Indonesia pada tahun 1947 di Jawa.

Permohonan maaf itu dinyatakan dalam satu majlis penuh beremosi sempena ulang tahun memperingati insiden tersebut

Pada ketika itu, askar-askar Belanda yang menyerbu masuk ke sebuah kampung di bandar Rawagede, Jawa Barat ketika rakyat Indonesia berjuang untuk memperoleh kemerdekaan, bertindak membunuh secara kejam kaum lelaki dan kanak-kanak lelaki di hadapan anggota keluarga dan jiran mereka.

Kenyataan rasmi Belanda mengesahkan seramai 150 orang terbunuh dalam tragedi berdarah itu tetapi beberapa penduduk tempatan memberitahu, angka korban sebenar adalah jauh lebih besar iaitu seramai 431 orang.

“Mengenai insiden ini, saya mewakili kerajaan Belanda, memohon maaf atas tragedi yang berlaku di Rawage pada 9 Disember 1947,” kata Duta Belanda ke Indonesia, Tjeerd de Zwaan.

Dia kemudian mengulangi ucapan tersebut dalam bahasa Indonesia di hadapan ratusan orang yang hadir di upacara tersebut.

Pada September lalu, sebuah mahkamah sivil di The Hague mendapati kerajaan Belanda bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai itu.

Penghakiman tersebut dilihat memihak kepada lapan balu serta salah seorang mangsa terselamat dalam tragedi itu membawa kes tersebut ke mahkamah di The Hague.

Dua daripada balu tersebut mati ketika kes masih dibicarakan manakala mangsa terselamat, Saih Sakam turut meninggal dunia pada Mei lalu semasa berusia 88 tahun.

Kerajaan Belanda bersetuju untuk membayar pampasan sebanyak AS$1.13 juta (RM3.56 juta) sebelum mahkamah membuat keputusan dan kini mereka perlu membayar gantirugi tambahan berjumlah AS$242,000 (RM763,328) kepada plaintif atau ahli keluarga mereka.

Salah seorang balu terbabit, Anti Rukiyah, 93 berkata akhirnya dia berasa lega dan menerima permohonan maaf tersebut.

“Lagipun kejadian itu sudah lama, tidak mengapa,”katanya. Menurutnya, dia akan memberikan wang pampasan tersebut kepada anak-anaknya untuk digunakan bagi membina rumah mereka.

Anaknya, Ani, 70, memberitahu, dia gembira kerana akhirnya keluarganya mendapat ganti rugi berikutan kejadian itu banyak mengubah kehidupan meraka.

“Saya membesar tanpa ayah. Amat sukar untuk ibu saya mencari pekerjaan ketika itu tetapi kini kami gembira dan tidak menyimpan dendam,”katanya.

Seramai 60 orang pelajar sekolah memakai tudung putih memulakan majlis tersebut dengan menyanyikan lagu kebangsaan Indonesia.

Kemudian mereka menceritakan penderitaan yang dialami penduduk setempat berikutan kejadian tersebut.

“Kami tidak akan lupa hari pembunuhan beramai-ramai di Rawagede,” laung ketua persembahan itu.

Pegawai rasmi kedutaan Belanda menyampaikan plak kayu yang diukir kincir angin di sebelah kiri dan pokok kelapa di kanannya. Turut dicatatkan ‘Akhirnya keadilan untuk penduduk Rawagede’ di sebelah tarikh tragedi berkenaan. – AFP

No comments:

Post a Comment