Pages

Monday, December 5, 2011

Anggota polis diarah bela diri tuduhan tembak remaja

SEREMBAN: Seorang anggota polis diperintah membela diri oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan melepaskan tembakan sehingga mencederakan seorang remaja, Mei tahun lalu.

Majistret Nor Azlina Hashim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Konstabel Mohd Hakimi Shamsul, 20.
"Selepas meneliti keterangan dari pembelaan dan pendakwaan, mahkamah mendapati tembakan yang dilepaskan kepada mangsa adalah tidak sah, (sedangkan) tertuduh boleh menggunakan pelbagai cara untuk menghentikan mangsa selain tembakan," katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 dan 13 Januari tahun depan untuk tertuduh membela diri.

Mohd Hakimi dituduh melepaskan tembakan terhadap Mohd Azizi Azri Aziz, 19, tanpa apa-apa alasan yang sah dan mengakibatkan remaja itu mengalami kecederaan, di Jalan Jelebu menghala ke Pantai dekat sini pada jam 3 petang, 8 Mei tahun lalu.

Mohd Hakimi, yang kini digantung tugas, dituduh mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 yang jika didapati bersalah boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Insiden dikatakan bermula di depan sebuah pusat beli belah di Jalan Datuk Siamang Gagap, dekat sini, apabila kereta peronda dinaiki dua anggota polis termasuk Mohd Hakimi mengejar sekumpulan penunggang motosikal termasuk Mohd Azizi Azri.
Kumpulan penunggang motosikal itu kemudian berpecah dan motosikal ditunggang Mohd Hakimi dikejar kereta peronda polis tersebut beberapa kilometer sehingga ke lokasi kejadian.

Polis kemudian melepaskan beberapa tembakan amaran, namun satu das tembakan dari senjata milik Mohd Hakimi dipercayai terkena perut Mohd Azizi Azri yang kemudian ditahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam S Parameswaran. - BERNAMA
Berita Harian Online | Anggota polis diarah bela diri tuduhan tembak remaja:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment