Pages

Thursday, December 29, 2011

Amah dilayan seperti hamba



CHAI Chun Mie yang terdapat kecederaan mendakwa diperlakukan seperti hamba hanya diberi makan sekali sehari selain diseksa ibu majikan, seorang warga emas di Kuching, Sarawak, semalam. - UTUSAN/amir hafiz abd. rahman


KUCHING 28 Dis. - Diperlakukan seperti hamba oleh majikan termasuk dibayar RM100 sebulan dan hanya diberi makan sekali sehari, seorang pembantu rumah sanggup menanggung penderitaan itu malah merahsiakannya semata-mata ingin membantu keluarga yang miskin.

Lebih memilukan, mangsa, Chai Chun Mie, 17, yang berasal dari Kampung Bako, di sini mendakwa sering diseksa oleh ibu majikannya yang berusia sekitar 70 tahun.

Tidak cukup dibelasah dengan tongkat kayu, mangsa juga dipukul dengan pinggan kaca atau apa sahaja perkakas rumah yang sempat dicapai warga emas itu, selain dicubit dan dipulas telinga hingga berdarah hanya kerana kesilapan kecil ketika melakukan kerja-kerja rumah.

Penderitaan ditanggung Chun Mie sejak setahun lalu itu akhirnya terbongkar apabila bapanya datang menjenguknya di rumah majikan di Jalan Lapangan Terbang, di sini kira-kira pukul 10 pagi ini.

Tidak sanggup melihat anak sendiri diperlakukan sebegitu, bapanya, Chai Jee Teng nekad melarikan Chun Mie sebelum membuat laporan polis kira-kira pukul dua petang ini.

Jee Teng, 59, yang bekerja sebagai penoreh getah berkata, ketika mula-mula berkhidmat dengan keluarga tersebut, anak sulung daripada lima beradik itu dibenarkan pulang bercuti beberapa hari setiap tiga bulan.

"Kali pertama dia balik, kami hairan melihat badannya kurus kering serta banyak kesan calar di muka namun, dia enggan bercerita perkara sebenar walaupun didesak kami sekeluarga.

"Kemudian, sejak enam bulan lalu, dia tidak lagi pulang ke rumah selain tiada khabar berita langsung menyebabkan saya nekad untuk datang ke rumah majikannya.

"Saya sangat terperanjat dan sedih melihat keadaan dia yang lemah serta kurus dengan kesan luka di seluruh badan, dia dilayan seperti seekor anjing di sana," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Chun Mie kemudiannya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, jurucakap Balai Polis Kuching mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan menahan ibu majikan mangsa bagi membantu siasatan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment