Pages

Monday, December 12, 2011

'African Scam' aktif tipu wang

Berita Harian Online | 'African Scam' aktif tipu wang:

MANTIN: Tindakan seorang pelajar kolej swasta warga Afrika terjun dari tingkat dua Kondominium Sri Palma Villa di sini, malam kelmarin, ketika operasi Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, membawa kepada penemuan markas sindiket 'African Scam' yang aktif melakukan penipuan melalui laman sosial.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, suspek berusia dalam lingkungan 20-an yang panik dengan kehadiran penguat kuasa Jabatan Imigresen serta Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) nekad terjun untuk melarikan diri.
Lelaki itu kemudian ditemui terbaring kerana cedera pada kaki kiri dan pemeriksaan lanjut mendapati dia tinggal lebih masa.
Curiga dengan tindakan nekad sebelum itu, penguat kuasa memeriksa lanjut dan menemui kandungan SMS mencurigakan pada telefon bimbitnya, mendakwa dia menipu wang beberapa individu.

Dia kemudian membawa penguat kuasa ke rumahnya, namun tiga rakannya yang berada di dalam enggan membuka pintu, menyebabkan penguat kuasa terpaksa memecahkan mangga pintu jeriji terbabit.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Faizal Fazri Othman berkata, pihaknya menemui tiga komputer riba yang masing-masing disembunyikan di atas siling bilik air, dalam sarung kusyen sofa dan laci kabinet TV.

Kita menemui pelbagai dokumen digital palsu di dalam komputer riba terbabit, antaranya salinan pasport individu tidak dikenali, salinan Mykad palsu dan surat tawaran daripada pelbagai kerajaan negara berbeza termasuk Malaysia untuk menerima sejumlah wang tidak dituntut.
Pemeriksaan turut menemui wang tunai RM1,650, 19 pek permulaan telefon bimbit dalam dan luar negara serta sembilan telefon bimbit mengandungi kandungan SMS meragukan, katanya di sini.

Katanya, tiga lelaki yang berada di dalam rumah terbabit diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut, manakala lelaki yang cedera ditahan pihaknya.

Selain itu, katanya, 300 pelajar Afrika diperiksa dalam operasi itu dengan 17 daripada mereka ditahan kerana kesalahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan dan tinggal lebih masa di negara ini.

Katanya, semua pelajar yang ditahan belajar di kolej swasta luar dari kawasan ini dan pihaknya percaya mereka datang ke kondominium itu untuk melawat rakan senegara.

No comments:

Post a Comment