Pages

Tuesday, November 22, 2011

Warga Iran seludup dadah RM27j tumpas

KUALA LUMPUR: Lagi warga Iran ditahan kerana dadah, kali ini mereka menyeludup masuk dadah jenis syabu menggunakan kontena melalui Pelabuhan Klang, dekat sini.

Bagaimanapun, taktik itu berjaya dihidu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang kemudian merampas dadah jenis syabu bernilai lebih RM27 juta dalam dua serbuan berasingan.


Pengarahnya, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, rampasan itu dipercayai rampasan dadah siap diproses yang terbesar tahun ini.

“Dalam serbuan pertama hasil maklumat awam dan risikan pegawai dan anggota JSJN, pada 11 November lalu, polis menahan dua lelaki warga Iran di Jalan Kampung Pandan.


“Hasil penahanan kedua-dua lelaki terbabit membawa kepada penemuan satu kontena berisi 14.2 kilogram (kg) syabu yang disembunyikan dalam kepingan batu marmar bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, semalam.


Menurutnya, dadah berkenaan disorok dalam lapisan 'polyboard' yang diselitkan di celah kepingan batu marmar berkenaan.

Dalam serbuan kedua pula kira-kira jam 2.30 petang kelmarin, pihaknya menahan enam lagi lelaki warga Iran di beberapa lokasi berasingan sekitar Lembah Klang.


“Berikutan penahanan itu, polis menemui sejumlah 124.9 kg syabu yang disembunyikan dalam tiga peti yang diperbuat dari papan lapis di pekarangan sebuah banglo mewah di Taman D’Alpinia, Putra Perdana, Puchong,” katanya.

“Mereka menggunakan taktik dengan menyembunyikan dadah itu dalam lapisan kedua peti berkenaan manakala pada bahagian atas pula diisi barangan hiasan seperti lampu perhiasan, pasu bunga, bingkai cermin, meja hiasan dan beberapa barang lain,” katanya.


Noor Rashid berkata, hasil siasatan mendapati rumah berkenaan disewa dan dijadikan stor penyimpanan dan pemprosesan dadah sebelum dijual dalam pasaran tempatan dan serantau.


“Semua dadah berkenaan diseludup masuk menggunakan kontena dan melalui jalan laut serta bukan seperti kebiasaan menggunakan laluan udara iaitu lapangan terbang,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM137,400 dan beberapa kenderaan mewah antaranya Lexus, Mercedes Benz, BMW dan MG Rover.


Semua lapan suspek yang berusia 29 hingga 51 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

myMetro | Warga Iran seludup dadah RM27j tumpas:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment