Pages

Thursday, November 24, 2011

Ulang tahun pertama serangan ke atas pulau Yeonpyeong



KERETA kebal K-9 milik Korea Selatan menyertai latihan ketenteraan bagi menghadapi serangan Korea Utara di Pulau Baengnyeong, dekat sempadan kedua-dua negara itu, semalam. – REUTERS


SEOUL 23 Nov. – Korea Selatan hari ini menyambut ulang tahun pertama pembedilan Korea Utara yang mengorbankan rakyatnya dengan majlis penuh adat istiadat dan latihan ketenteraan, ketika Pyongyang menuduh Seoul memprovokasi serangan itu.

Beratus-ratus orang berkumpul di tanah perkuburan kebangsaan di tengah bandar Daejeon bagi memperingati dua tentera Marin yang terbunuh akibat bedilan Korea Utara di pulau Yeonpyeong, berhampiran sempadan Laut Kuning, pada 23 November 2010.

Serangan pertama ke atas kawasan penduduk itu sejak perang Korea 1950-1953 turut mengorbankan dua penduduk awam dan memusnahkan serta merosakkan beberapa kediaman serta bangunan.

“Hari hitam itu tidak mungkin dapat dilupakan,” kata Perdana Menteri Kim Hwang-sik semasa berucap pada majlis yang turut dihadiri komander tentera, ahli politik, tentera Marin dan ahli keluarga mangsa.

Beliau turut berjanji ‘tidak akan berkompromi’ jika Korea Utara sekali lagi melakukan provokasi.

Tentera Korea Selatan turut mengadakan latihan secara besar-besaran di darat, laut dan udara berhampiran sempadan bergolak itu, lewat hari ini.

Latihan itu melibatkan unit tentera Marin berpangkalan di Yeonpyeong dan jet pejuang yang dilengkapi peluru berpandu serangan darat dan bom pemusnah seberat 4,500 tan. Tentera darat pula diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.

Pasukan tentera yang dikecam ekoran tindak balas mereka yang lemah ketika insiden itu berlaku berkata, latihan itu sebagai menguji kecekapan sebarang serangan balas di masa depan.

Mereka turut berjanji untuk melancarkan serangan balas paling kuat menggunakan meriam dan serangan udara jika berlaku serangan baru. – AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment