Pages

Tuesday, November 29, 2011

Tempias sekatan ekonomi ke atas Syria

NEGARA Arab Ahad lalu mengambil keputusan yang akan memberi tamparan hebat kepada ekonomi Syria apabila ia memutus untuk menghentikan urusan perniagaan dengan bank pusat negara itu serta menghentikan pelaburan.

Namun, rasa kurang senang di kalangan negara jiran Syria mengenai kesan sekatan terhadap ekonomi masing-masing akan mengurangkan padah yang dijangka menimpa Damsyik.


Pada mesyuarat mereka di Kaherah, Menteri Luar Liga Arab juga bersetuju membekukan harta yang ada hubungan dengan kerajaan Presiden Bashar al-Assad serta mengenakan sekatan perjalanan terhadap pegawai kanan Syria sebagai tindak balas terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai keganasan Bashar ke atas penunjuk perasaan sepanjang lapan bulan lalu.

Ekonomi Syria sudah dijangka merudum sebanyak enam peratus tahun ini. Kekacauan yang berlaku menjejaskan sektor pelancongan, sumber pendapatan asing paling utama negara itu di samping mengganggu pelaburan dan perdagangan dengan negara luar serta sudah mula memberi kesan terhadap rizab asing negara itu.


Sekatan Kesatuan Eropah terhadap minyak mentah Syria yang diumumkan September lalu memberi kesan besar terhadap eksport bahan itu yang berjumlah AS$400 juta sebulan sehingga Syria boleh mencari pelanggan baru untuk minyaknya.


Pengumuman Liga Arab Ahad lalu bagaimanapun tidak membabitkan sekatan perdagangan sepenuhnya selepas negara yang hadir berkata, mereka berusaha mengelak tindakan yang boleh menjejaskan orang awam Syria.

“Tetapi, memulaukan Bank Pusat Syria yang sering menawarkan nota kredit untuk perdagangan akan merumitkan kegiatan import dan eksport bagi peniaga Syria,” kata Chris Phillips dari Unit Perisikan Ekonomi.


Bagaimanapun, katanya, adalah sukar menyaksikan Lubnan atau Iraq melaksanakan sekatan berkenaan.

Lubnan yang mempunyai hubungan rapat dari segi politik dan juga perdagangan dengan Syria, mengundi menentang usul itu. Begitu juga Iraq.


Baghdad sebelum mesyuarat itu menyuarakan keengganannya untuk mengenakan sekatan.


“Iraq mempunyai keraguan mengenai keputusan mengenakan sekatan. Bagi kami, keputusan itu akan menjejaskan kepentingan negara dan rakyat kami memandangkan ramai di kalangan kami mempunyai anggota keluarga di Syria,” kata Timbalan Menteri Luar, Labeed Abbawi.


Lubnan pula menunjukkan reaksi pelbagai mengenai sama ada akan turut melaksanakan sekatan. Menteri Luar, Adnan Mansour berkata minggu lalu, Beirut tidak akan bertindak terhadap Syria. - AP

myMetro | Tempias sekatan ekonomi ke atas Syria:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment