Pages

Thursday, November 10, 2011

Tayar meletup langgar besi tengah jalan


SEREMBAN: “Tayar meletup apabila terlanggar besi di tengah jalan menyebabkan kereta hilang kawalan sebelum merempuh penghadang tepi lebuh raya lalu terbalik,” kata pemandu kereta yang nyaris maut bersama isteri dan dua anaknya dalam kemalangan di Kilometer 247.4 Lebuhraya Utara Selatan (Plus), di sini, kelmarin.
Almalix Kosni, 34, berkata, sebaik keretanya terbalik, tiada apa terlintas di fikiran selain menyelamatkan dua anak kecil dan isterinya yang berada di tempat duduk belakang.

“Nasib baik ada pengguna jalan raya yang prihatin terus memecahkan cermin depan kereta untuk mengeluarkan saya bersama dua anak serta isteri.

“Walaupun patah bahu kanan, saya bersyukur kerana isteri, Nura Azfa Mohd Mokhtar, 34, dua anak perempuan, Adra Nur Iman, lapan bulan dan Arisha Daleela, 4, tidak cedera,” katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam, empat sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke Nilai selepas berhari raya di kampung halaman Almalix di Muar, Johor.

Menceritakan kejadian itu, Almalix berkata, dia yang dalam perjalanan ke Nilai tidak sempat mengelak besi di tengah jalan itu lalu melanggarnya sebelum kereta hilang kawalan.

“Kereta terus meluru ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang kiri lebuh raya. Syukur kerana saya sekeluarga terselamat dalam kejadian ini.

“Anak perempuan saya, Arisha Daleela terselamat kerana duduk di kerusi khas kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi, K Nathan, 28, berkata, kereta BMW dinaiki mangsa berada di lorong kanan lebuh raya tiba-tiba hilang kawalan.

“Kereta itu kemudian berpusing beberapa kali sebelum terbalik. Pemandu dan penumpang tidak dapat keluar kerana keretanya rosak teruk.

“Saya bersama beberapa pengguna jalan raya lain terus berhenti dan memecahkan cermin depan kereta untuk mengeluarkan semua mangsa,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pemandu kereta itu dipercayai mengalami kecederaan di bahu kanan manakala isteri dan dua anak kecil mereka tidak cedera.

Katanya, kejadian itu berlaku betul-betul di depan matanya dan kereta dinaiki empat sekeluarga itu rosak teruk dengan dua tayar tercabut.

“Cermin kereta Perodua Alza saya yang baru dibeli beberapa hari lalu turut retak dipercayai terkena sesuatu objek melayang dalam kejadian itu.

“Pengalaman ini kali pertama berlaku di depan mata yang pasti sukar dilupakan sampai bila-bila,” katanya

No comments:

Post a Comment