Pages

Tuesday, November 8, 2011

Tagih nyawa

LARANGAN...papan tanda amaran diletakkan di kawasan Pantai Kuala Muda.
LARANGAN...papan tanda amaran diletakkan di kawasan Pantai Kuala Muda.
KEPALA BATAS: Pantai Kuala Muda, Penaga, di sini, kini diberi gelaran Pantai Puaka kerana sentiasa dahagakan nyawa, sekurang-kurangnya seorang setiap tahun pasti menjadi korban di kawasan itu.
Penduduk mengesahkan kejadian korban nyawa itu berlaku setiap tahun dan ada mendakwa ia berpunca daripada kesilapan nenek moyang yang membuat perjanjian kerana mempercayai perkara karut.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Bakau Tua, Ramli Mahat, 60, berkata, kejadian korban di laut itu saban tahun berlaku di kampung itu.
“Setiap tahun ada saja kejadian lemas di sini dan terbaru, Oktober lalu apabila dua pelajar lemas,” katanya.

Menurutnya, kawasan laut di situ bagaikan sentiasa dahagakan nyawa sekurang-kurangnya seorang setiap tahun.

“Bukan percaya perkara mengarut, tetapi hakikatnya memang ia berlaku,” katanya ketika ditemui, semalam.
Ramli berkata, papan tanda amaran mandi sudah dipasang, tetapi kawasan pantai di situ umpama kolam renang kepada penduduk terutama kanak-kanak.

“Budak-budak, jika dilarang bukan mahu mendengar kata, takutnya hanya sekejap,” katanya.
Kampung nelayan berusia ratusan tahun itu dihuni kira-kira 5,000 penduduk yang menempatkan hampir 1,000 rumah.

Penduduk, Halimah Ismail, 65, yang menetap di kampung itu sepanjang hayatnya percaya dengan dakwaan sesetengah pihak mengatakan laut Kuala Muda berpuaka kerana sejak kecil, setiap tahun dia mendengar berita kematian di laut.

“Kes mati lemas sudah puluhan kali saya dengar, belum lagi kes nelayan hilang di laut atau mati mengejut di dalam bot ketika keluar menangkap ikan,” katanya.

Menurutnya, dia bimbang memikirkan nyawa siapa pula selepas ini yang akan menjadi korban laut itu.

“Kebanyakan mangsa korban laut ialah penduduk setempat tidak kira usia,” katanya.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kejadian di kawasan perkampungan nelayan itu ada kaitan dengan perkara tahyul dipercayai berpunca daripada nenek moyang mereka.

Katanya, pada zaman 30-an dulu, dia ada menyaksikan satu upacara seperti memberi makan kepada ‘penunggu’ laut.

“Orang kampung menyembelih kerbau dan kepala haiwan itu diletakkan di atas sebuah rakit berserta pulut kuning dan bertih jagung sebelum rakit dihanyutkan ke tengah laut,” katanya.

Namun, dakwanya, amalan itu sudah dihentikan kerana perbuatan itu syirik dan sejak itu ramai percaya laut yang dahagakan korban, memilih nyawa manusia sebagai gantinya.

“Ada segelintir penduduk kampung cuba mengembalikan kepercayaan itu namun ditentang banyak pihak,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Bahagian Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Razam Taja Rahim berkata, berdasarkan rekod Balai Bomba Kuala Muda, setiap tahun dari 2005 hingga 2010, ada satu kes lemas berlaku di Pantai Kuala Muda.

“Tahun ini, dua kes lemas dicatatkan membabitkan tiga kematian iaitu seorang mangsa pada Januari dan dua lagi bulan lalu.

“Setiap tahun kami menerima aduan kes lemas dan orang hilang di laut itu,” katanya.
myMetro | Tagih nyawa:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment