Pages

Monday, November 28, 2011

Sekatan terbaru ke atas Iran, agenda politik kotor AS


PADA 23 November lalu, Amerika Syarikat (AS), Britain dan Kanada mengumumkan sekatan baru ke atas Iran bagi meningkatkan tekanan ke atas Teheran kerana dilapor menjalankan penyelidikan membangunkan bom atom, walaupun negara Islam itu diramal mampu meneruskan program tenaga nuklearnya.

Sekatan terbaru itu merupakan tindakan AS untuk memutuskan hubungan bank pusat Iran dengan sistem kewangan global dengan menuduh negara Islam itu sebagai kawasan ‘penggubahan wang utama’. Amerika dan sekutunya turut menyenaraihitam 11 syarikat Iran dan syarikat lain yang berkerjasama dalam industri minyak dan petrokimia negara itu atas tuduhan membantu program nuklear Teheran.

Sekatan tersebut dilaksanakan selepas laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 8 November lalu menyatakan Iran sedang membangunkan bom atom dan masih menjalankan penyelidikan berkaitan program itu secara rahsia, walaupun Teheran menafikan laporan itu dan bertegas menyatakan program nuklear Iran adalah bertujuan untuk keselamatan dan sumber tenaga.

Duta Besar Iran ke Malaysia, PROF. DR. MOHAMMAD MEHDI ZAHEDI, 57, berkongsi pandangannya berhubung sekatan terbaru negara Barat terhadap Iran semasa ditemubual wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HASRIQ AMIRUDDIN baru-baru ini.

UTUSAN: Apa komen tuan mengenai sekatan terbaru AS, Britain dan Kanada terhadap Iran berhubung isu nuklear?

MOHAMMAD MEHDI: Sekatan terbaru ini dilaksanakan atas tuduhan AS yang tidak berasas dan menunjukkan sikap politik kotor negara itu yang cuba menggugat pencapaian Iran dalam bidang nuklear.

Ia sebenarnya helah AS untuk mengalih perhatian antarabangsa terhadap kegagalan Barat mencapai keamanan di Asia Barat, terutamanya membabitkan konflik antara Palestin dan Israel yang masih menemui jalan buntu.

Apakah tindakan Iran dalam menangani sekatan terbaru itu?

Iran sebenarnya adalah anggota IAEA dan menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) serta sentiasa mematuhi kehendak agensi antarabangsa itu.

Jadi, kami tidak akan berdiam diri dan berusaha membuktikan program pembangunan nuklear kami adalah untuk tujuan keamanan dan bukannya untuk membangunkan senjata pemusnah seperti yang digembar-gemburkan oleh AS dan rejim Zionis.

Iran akan menggunakan saluran yang betul dan mengikut undang-undang antarabangsa bagi menyelesaikan isu nuklear ini, walaupun Iran terpaksa berdepan dengan sikap ‘double standard’ kuasa kolonial yang melabel kami sebagai negara yang cuba membangunkan senjata nuklear.

Sektor manakah yang bakal terjejas teruk ekoran sekatan tersebut?

Berdasarkan sekatan kali ini, ia lebih mensasarkan kumpulan atau individu yang terlibat dalam institusi kewangan dan ekonomi Iran dan secara jelasnya ia merupakan cara untuk melemahkan sistem perbankan dan kewangan negara ini.

Namun, tindakan tersebut hanya sia-sia kerana Iran tidak akan berdiam diri, malah tetap melaksanakan pembangunan dan mencapai kemajuan dengan cara sendiri.

Iran dikenakan sekatan sejak sekian lama dan ia mengajar kami mematangkan diri untuk memajukan negara kami dalam keadaan yang terhad daripada segi kewangan dan diplomatik.

Apakah terdapat agenda lain selain nuklear yang membuatkan mereka (negara Barat) mengambil tindakan tersebut?

Pihak AS sebenarnya marah apabila kepentingan mereka menjadi terhad dan tidak boleh campur tangan dalam urusan di negara-negara Arab.

Ini kerana beberapa pemimpin negara Arab yang pro-Barat mula dikecam dan digulingkan oleh rakyat sendiri, sekali gus menyebabkan kepentingan AS di negara terbabit tidak dapat dilindungi lagi.

Mereka juga menyedari kebangkitan Islam (Arab Spring atau Revolusi Arab) merupakan bantahan terhadap diktator atau pemerintah yang mendapat sokongan AS seperti bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Apa punca lain yang menyebabkan kebangkitan tersebut?

Berdasarkan perkembangan di negara-negara Arab yang bangkit menentang pemimpin mereka yang pro-Barat, ia sebenarnya mendapat inspirasi daripada Revolusi Iran pada 1979.

Ia merupakan usaha negara-negara di wilayah ini untuk mencapai kemerdekaan dan kebebasan terutamanya Palestin yang sekian lama bersusah-payah mahu mendapatkan status negara yang sah.

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment