Pages

Thursday, November 3, 2011

Pesawat Boeing 767 LOT selamat mendarat tanpa roda di Warsaw




DETIK-detik cemas semasa pesawat Boeing 767 milik Penerbangan LOT Poland melakukan pendaratan cemas tanpa roda di Lapangan Terbang Warsaw di Poland, kelmarin. - REUTERS


WARSAW 2 Nov. - Sebuah pesawat Boeing 767 membawa seramai 231 orang selamat mendarat selepas ia mengalami kegagalan peralatan pendaratan di Lapangan Terbang Warsaw, hari ini.
Jurucakap syarikat penerbangan LOT Polish Airlines di Poland berkata, anggota bomba dan ambulans dikerah ke tempat kejadian dan kesemua 220 orang penumpang serta 11 orang krew selamat dikeluarkan dari pesawat penumpang itu.
Menurut jurucakap LOT, Leszek Chorzewski, pesawat Boeing 767-300 itu yang dalam perjalanan dari Newark, Amerika Syarikat berjaya melakukan pendaratan kecemasan selepas mengalami kegagalan pada gear pendaratan.
"Pesawat tersebut selamat mendarat pada badannya di landasan itu yang telah disembur dengan bahan perencat api yang istimewa.
"Kesemua penumpang selamat diturunkan (dari pesawat) dan tiada sesiapa yang cedera," katanya.
Rakaman video pendaratan kecemasan yang disiarkan beberapa minit selepas kemalangan tersebut menerusi stesen televisyen tempatan, TVN24 menunjukkan badan pesawat tersebut tergelincir di landasan dan mengeluarkan asap putih.
Percikan api turut kelihatan di enjin jet yang terletak di kepaknya ketika pesawat itu tergelincir.
Penumpang kemudian keluar dari pesawat tersebut menggunakan gelongsor kecemasan dengan bantuan krew lapangan terbang. - AFP

No comments:

Post a Comment