Pages

Tuesday, November 1, 2011

Penduduk ketujuh bilion dirai



Reuters
MARINA NIKOLAEVA mendukung anaknya, 
Pytor yang dipilih secara simbolik sebagai penduduk ketujuh bilion di sebuah pusat perubatan di Kaliningrad, Rusia semalam.


MANILA -Empat bayi yang dilahirkan di India, Filipina dan Rusia semalam dipilih sebagai simbolik penduduk dunia yang ketujuh bilion.
Pemilihan itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan jumlah penduduk dunia akan menjadi tujuh bilion semalam.
Di negeri Uttar Pradesh, seorang bayi, Nargis dipilih secara simbolik oleh Lembaga Perancangan India sebagai penduduk dunia ketujuh bilion.
Pemilihan itu dibuat bagi mengetengahkan masalah pengguguran bayi perempuan di India.
AP
SETIAUSAHA Lembaga Perancangan India, Arti Kirloskar menyampaikan sijil kelahiran kepada ibu bayi Nargis yang dipilih secara simbolik sebagai penduduk ketujuh bilion di Mall, India semalam.


Sebanyak tujuh juta janin perempuan dianggarkan telah digugurkan kerana dianggap tidak mempunyai nilai ekonomi berbanding janin lelaki.
Di Filipina, bayi seberat 2.5 kilogram yang dinamakan Danica May Camacho dililih secara simbolik sebagai penduduk dunia ketujuh bilion.
Bayi itu dilahirkan dua minit selepas tengah malam kelmarin.
Kelahirannya di bilik bersalin Hospital Memorial Jose Fabella di sini mendapat liputan meluas pihak media.
"Bayi ini kelihatan sangat comel," kata ibunya, Camille Dalura sambil meriba bayi perempuannya.
"Saya tidak percaya bahawa dia ialah bayi ketujuh bilion di dunia," katanya.
Bayi berkenaan merupakan anak kedua Dalura bersama pasangannya, Florante Camacho.
AP
BAYI DANICA CAMACHO didukung oleh ibunya, Camille semasa bapa bayi itu, Florante Galura membawa kek selepas anaknya dipilih secara simbolik sebagai penduduk ketujuh bilion dunia di Hospital Fabella, Manila semalam.


Pasangan itu bersama bayi berkenaan turut diraikan para pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pasangan itu turut menerima hadiah daripada penderma tempatan termasuk biasiswa pendidikan bagi bayi tersebut dan satu pakej bagi membolehkan pasangan itu memulakan perniagaan runcit.
Turut menyaksikan peristiwa bersejarah itu ialah budak perempuan berusia 12 tahun, Lorrize Mae Guevarra yang diisytiharkan bayi keenam bilion di dunia pada 1999.
Seorang bayi bernama Pyotr yang dilahirkan pada pukul 0002 semalam di pelabuhan Kaliningrad, Rusia turut dipilih secara simbolik sebagai penduduk yang ketujuh bilion.
Pemilihan itu turut disahkan oleh perwakilan PBB dalam satu majlis memberikan sijil kepada bayi berkenaan yang dilahirkan oleh ibunya, Marina Nikolaeva.
Namun, di bandar Petropavlovsk-Kamchatsky, seorang bayi lelaki bernama Aleksandr didakwa sebagai penduduk ketujuh bilion kerana dia dilahirkan pada pukul 0019 pagi semalam, menurut agensi berita Interfax.
Semua majlis itu hanyalah simbolik sahaja kerana tiada kaedah statistik untuk mengesahkan bayi yang manakah di dunia yang sebenarnya penduduk ketujuh bilion dunia. - Agensi

No comments:

Post a Comment