Pages

Sunday, November 27, 2011

Pemuda dikhuatiri lemas

ANGGOTA  Jabatan Pertahanan Awam Malaysia mengusung warga emas, Esak Omar, 71 yang uzur dari Kampung Gelong Gajah, Tumpat ke balai raya berdekatan semalam.
ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia mengusung warga emas, Esak Omar, 71 yang uzur dari Kampung Gelong Gajah, Tumpat ke balai raya berdekatan semalam.
KOTA BHARU: Seorang pemuda yang dilarang beberapa kali penduduk Kampung Pantai Kuala Pak Amat, Pengkalan Chepa, dekat sini daripada mandi di laut, dikhuatiri lemas dihanyutkan ombak kuat, kira-kira jam 4 petang semalam.

Mohd Farid Mohd Yusoff, 20, dikatakan tetap berkeras dan mandi berseorangan ketika kejadian walaupun sudah dinasihatkan penduduk supaya tidak berbuat demikian kerana keadaan laut berbahaya di kawasan itu yang sebelum ini juga pernah merekodkan kes lemas.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Saipu Bahari Mat Noor, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 4.55 petang dan menghantar enam anggota termasuk dua anggota bomba sukarela.
“Usaha mencari pemuda itu sedang dilakukan dengan bantuan Unit Skuba selain anggota bomba dan penduduk. Sehingga jam 6.30 petang ini (semalam), mayat mangsa belum ditemui,” katanya.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Kelantan setakat petang semalam adalah 1,623 orang membabitkan 397 mangsa di jajahan ini, Pasir Mas (1,148) dan Tumpat (78).

Di KUALA TERENGGANU, sehingga jam 6.30 petang semalam, 272 mangsa banjir masih ditempatkan di lima pusat pemindahan di Setiu, Marang, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu, manakala tujuh mangsa terakhir di Sekolah Padang Kemunting, Kemaman sudah dibenarkan pulang.

Seramai 77 mangsa daripada 15 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan Kampung Beris Tok Ku di Setiu, 23 orang daripada tujuh keluarga di Marang, 165 daripada 37 keluarga di Kuala Terengganu dan tujuh mangsa daripada dua keluarga di Hulu Terengganu.
Di KUANTAN, cuaca panas sejak kelmarin membolehkan 11 mangsa yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Chendor, dekat Cherating sejak Khamis lalu, pulang ke rumah sebelum pusat pemindahan banjir yang menempatkan dua keluarga berkenaan ditutup semalam.
Berita Harian Online | Pemuda dikhuatiri lemas:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment