Pages

Sunday, November 6, 2011

Pemandu panjat kereta


ANGKAT...anggota  bomba berusaha mengeluarkan kereta  terjatuh ke dalam Sungai Pandan.
ANGKAT...anggota bomba berusaha mengeluarkan kereta terjatuh ke dalam Sungai Pandan.

JOHOR BAHRU: Seorang wanita maut manakala suaminya cedera apabila kereta Toyota Vios dipandu lelaki berkenaan merempuh penghadang jalan sebelum terjunam ke Sungai Pandan di Kilometer 9.5 Jalan Johor Bahru — Kota Tinggi, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7 pagi, kereta itu dipercayai dipandu laju sebelum pemandunya disyaki gagal mengawal kenderaan apabila tiba di lokasi sebelum terjunam ke sungai.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail berkata, kereta berkenaan dipandu laju sebelum cuba mengelak sebuah motosikal ketika tiba di lokasi.
Katanya, ketika itu pemandu berkenaan dipercayai hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan sebelum terbabas ke sungai.

“Pemandu terbabit berjaya memanjat kereta dan menjerit meminta bantuan, menyebabkan beberapa pemancing di kawasan berhampiran cuba menyelamatkan isterinya.

“Bagaimanapun, orang ramai gagal menyelamatkan isterinya yang tenggelam bersama kereta sebelum menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Difahamkan, pemandu berkenaan, Tan Lay Choon, 49, warga Singapura terselamat dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala isterinya, Pan Sua Yean, 45, berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, kereta berkenaan dari Kota Tinggi dan dalam perjalanan ke Singapura.
Katanya, apabila tiba di lokasi, pemandu berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan lalu merempuh penghadang jalan, sebelum terbabas ke Sungai Pandan.

“Isteri mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suaminya terselamat dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

“Kereta Toyota Vios milik mangsa dikeluarkan dari sungai dua jam kemudian dan kami menyiasat kes ini mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Berikutan itu, sesiapa yang melihat kejadian diminta tampil memberi kenyataan bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat berkata, unit menyelam pasukan berkenaan mengambil masa sejam bagi mengeluarkan mayat Sua Yean yang terperangkap di dalam kereta sebelum dihantar ke HSI untuk bedah siasat.
myMetroPemandu panjat kereta:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment