Pages

Wednesday, November 30, 2011

Pakistan tolak berurusan dengan AS


ISLAMABAD 29 Nov. – Perdana Menteri Pakistan, Yusuf Raza Gilani menolak untuk menjalankan ‘urusan seperti biasa’ dengan Amerika Syarikat (AS) semalam, selepas satu serangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membunuh 24 tenteranya, Sabtu lalu.

Kejadian yang menyaksikan tentera Pakistan cuba mengehadkan kerjasama perang bersama AS di Afghanistan itu juga, menyukarkan lagi usaha AS untuk meredakan krisis hubungan dengan Islamabad dan menstabilkan rantau tersebut sebelum tentera asing berundur dari Afghanistan.

“Kami tidak akan menjalankan urusan seperti biasa. Kami perlu lakukan perkara lebih besar untuk memuaskan hati negara kami,” kata Perdana Menteri ketika ditanya CNN sama ada pihaknya mahu meneruskan hubungan dengan AS.

Tatkala serangan NATO telah mengalihkan perhatian dari apa yang disifatkan pengkritik sebagai kegagalan Islamabad memburu militan, kenyataan Gilani itu juga memperlihatkan kemarahan kerajaan dan tentera Pakistan selain tekanan yang dihadapi daripada rakyatnya.

“Kamu tidak boleh memenangi mana-mana perang tanpa sokongan ramai. Kami perlukan sokongan rakyat,” katanya.

Gilani berkata, hubungan itu jika diteruskan hanyalah atas dasar ‘saling hormat menghormati dan kepentingan bersama’.

Ditanya Pakistan ada menerima penghormatan tersebut, Perdana Menteri itu menjawab: “Buat masa ini belum”.

Sabtu lalu, seramai 24 anggota tentera Pakistan terbunuh dekat sempadan Afghanistan dalam serangan udara NATO, sekali gus mendorong Islamabad menghentikan penghantaran bekalan kepada NATO di Afghanistan. – Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment