Pages

Saturday, November 12, 2011

NATO bimbang disiasat ICC



MORENO-OCAMPO menegaskan bahawa tuduhan yang dikenakan ke atas NATO akan disiasat secara adil dan bebas.


BRUSSELS, Belgium - Beberapa diplomat negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bimbang badan tersebut mungkin disiasat oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) selepas pendakwa raya ICC menyatakan dakwaan jenayah perang yang dilakukan oleh NATO di Libya akan disiasat secara adil dan bebas.

Diplomat-diplomat berkenaan berkata, tindakan untuk menyiasat dakwaan-dakwaan tersebut akan melibatkan semakan terhadap semua insiden pengeboman NATO yang menyebabkan kematian orang awam di Libya.

Sebelum ini, pakatan ketenteraan Barat itu berulang kali menegaskan bahawa operasinya di Libya dilancar berdasarkan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Resolusi tersebut membenarkan semua anggota NATO melakukan segala usaha yang perlu bagi melindungi orang awam dan kawasan penduduk awam yang diancam diserang di negara Afrika Utara itu.

Pemimpin-pemimpin NATO berulang kali memuji ketepatan misi yang dilaksanakan jet-jet pejuangnya. Mereka mendakwa kematian kecil orang awam akibat pengeboman menunjukkan misinya untuk menguatkuasakan zon larangan terbang dan melindungi rakyat Libya berjaya.

Namun, dalam satu taklimat kepada Majlis Keselamatan pada 2 November lalu, pendakwa raya ICC Luis Moreno-Ocampo berkata: "Terdapat dakwaan-dakwaan jenayah yang dilakukan oleh pasukan NATO. Semua dakwaan ini akan disiasat."

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan dengan terperinci tentang dakwaan berkenaan atau siapa yang membuat tuduhan tersebut.

Menurut Moreno-Ocampo, pihaknya kini memberi tumpuan terhadap jenayah yang dilakukan oleh bekas tentera rejim Muammar Gaddafi.

Beliau akan memutuskan sama ada untuk melancarkan siasatan rasmi ke atas NATO selepas memperoleh laporan Suruhanjaya Inkuiri Libya tajaan PBB yang akan disiapkan menjelang Mac tahun depan.

Sementera itu, beberapa pegawai NATO menyatakan, jet-jet perikatan tersebut melancarkan 26,000 misi di antara Mac hingga Oktober lalu termasuk 9,600 misi pengeboman.

Sepanjang tempoh itu, jet-jet NATO telah memusnahkan lebih 1,000 kereta kebal, kenderaan tentera dan senjata, di samping sejumlah bangunan. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment