Pages

Monday, November 21, 2011

Muslim protes intipan NYPD

PENGURUS hak sivil Majlis Hubungan Amerika-Islam Cyrus McGoldrick, berucap ketika protes membantah intipan NYPD diadakan di New York.
PENGURUS hak sivil Majlis Hubungan Amerika-Islam Cyrus McGoldrick, berucap ketika protes membantah intipan NYPD diadakan di New York.
Masjid, kawasan penduduk Islam jadi sasaran diperhati, direkodkan

NEW YORK: Beribu-ribu warga Amerika Syarikat beragama Islam berarak ke ibu pejabat polis di 'Big Apple', Jumaat lalu, kerana membantah kegiatan polis melakukan perisikan terhadap masjid selain mengintip kawasan penduduk Muslim.
Berpakaian baju tebal, lelaki dan wanita menunaikan solat selepas azan berkumandang dalam keadaan cuaca sejuk.
“Menjadi seorang Islam tidak membezakan kewarganegaraan kami,” kata Imam Talib Abdul Rashid kepada kira-kira 500 jemaah di Foley Square, tidak jauh dari Dewan Bandar Raya dan mahkamah tempatan.

“Kami tidak akan memohon maaf kerana kami beragama Islam dan tetap bersemangat waja sebagai warga Amerika.”

Bantahan itu lebih kecil berbanding Occupy Wall Street yang mencetuskan pertembungan dengan polis dan menjadi tajuk muka depan di seluruh dunia.

Polis memakai baju sejuk dan bukan peralatan rusuhan, manakala penunjuk perasaan menggesa hubungan lebih baik dengan polis. “Kami mahu anda hormati kami kerana kami juga akan menghormati anda,” kata Talib.
Ia bantahan terancang pertama terhadap taktik perisikan polis New York (NYPD) sejak satu siasatan AP mendedahkan program pengintipan meluas yang mencatat setiap aspek kehidupan penduduk Islam di bandar raya ini.

Polis mengintip masjid dan pelajar. Pegawai berpakaian preman turut merekodkan restoran Arab dan pelanggan mereka. Penganalisis mewujudkan pangkalan data pemandu teksi keturunan Arab dan memantau penduduk Islam yang mengubah nama mereka.

“Jika ini berlaku kepada kumpulan agama lain, semua penduduk di Amerika akan marah,” kata Daoud Ebrahim, 73, pereka grafik bersara dari Brooklyn.

Selepas solat Jumaat, masyarakat Islam disertai kira-kira 50 penunjuk perasaan Occupy Wall Street, memenuhi perkarangan untuk berjalan kaki ke bangunan besar ibu pejabat polis dikenali One Police Plaza. Mereka tidak lama di situ, hanya melaungkan desakan supaya Pesuruh Jaya Polis, Ray Kelly dilucutkan daripada jawatan sebelum kembali semula ke Foley Square.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk bertulis, ‘NYPD Memerhatikan Kami. Siapa Memerhatikan NYPD?’ Kira-kira 12 pegawai polis memakai seragam memantau demonstrasi dan mengikuti perarakan. Tiada pergaduhan meletus. – Agensi
Berita Harian Online | Muslim protes intipan NYPD:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment