Pages

Wednesday, November 30, 2011

Kami tidak bercerai - Jalani Sidek



Raja Azmi dan Jalani Sidek memberi penjelasan kepada wartawan Utusan Malaysia tentang isu perceraian mereka di Ibu Pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 29 Nov. - Bekas pemain beregu badminton negara, Jalani Sidek, 48, yang juga suami kepada produser filem tanah air, Raja Azmi Raja Sulaiman hari ini tampil menafikan dakwaan kononnya mereka telah bercerai.

Khabar angin itu timbul apabila Jalani dilihat berjalan beriringan dengan seorang wanita di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam.

Jalani yang mengunjungi pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini bersama isterinya, Raja Azmi memberitahu, dakwaan yang dilemparkan terhadapnya bukan sahaja dikesali tetapi satu tindakan yang berniat jahat.

"Saya dan Raja Azmi masih pasangan suami isteri dan bulan hadapan merupakan ulang tahun perkahwinan kami yang ke-28. Selama ini, pelbagai tohmahan dilemparkan termasuk saya pernah dikatakan sebagai dayus tetapi saya berdiam sahaja.

"Kali ini, saya bersuara kerana tohmahan itu bukan sahaja melibatkan rumah tangga saya dengan Raja Azmi yang tiada sebarang masalah. Tetapi juga cuba mengaitkan dengan pihak ketiga yang sepatutnya tidak berlaku. Justeru, dengan penjelasan saya ini, saya berharap hentikanlah sahaja usaha untuk memburukkan nama baik saya, isteri dan wanita berkenaan," katanya.

Jalani berkata, bukan sikapnya untuk ambil peduli tentang apa orang lain kata terhadap isterinya kerana sebagai suami, dia lebih mengenali isterinya itu.

Bahkan, ujar beliau, segala tindak tanduk Raja Azmi adalah dalam pengetahuannya dan tiada rahsia antara mereka.

"Isteri saya tahu segala pergerakan saya. Ke mana saya pergi, dengan siapa dan atas urusan apa. Begitu juga sebaliknya dan saya memang izinkan langkah isteri saya.

"Cerita saya bercerai ini sengaja ditimbulkan oleh insan yang tidak berpuas hati terhadap saya. Jadi, semalam, apabila saya baru sampai dari Medan, Indonesia bersama rakan kongsi perniagaan saya, kami disambut oleh isteri saya.

"Cuma kebetulan, ketika Raja Azmi pergi membeli makanan ringan, orang hanya nampak saya dan rakan kongsi dan mulalah nak buat cerita yang bukan-bukan.

"Bagi saya, apa yang saya katakan di sini hanyalah kebenaran dan saya tidak mahu orang cuba sebarkan spekulasi liar seperti ini," katanya.

Kata Jalani, perkahwinan bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main-main, begitu juga dengan tohmahan perceraian.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment