Pages

Friday, November 4, 2011

Israel tegas mahu sekat flotila



BAITULMAQDIS 3 Nov. - Tentera laut Israel akan menghalang dua bot layar yang meninggalkan Turki semalam, yang membawa aktivis pro-Palestin daripada melanggar sekatan rejim Zionis dan memasuki perairan Genting Gaza.
Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Avital Leibovich yang dihubungi menerusi telefon tidak menyatakan bentuk tindakan yang akan diambil untuk menyekat flotila tersebut, sekadar berkata 'kami perlu menilai dan melihat sama ada kami menghadapi penumpang yang akan bertindak ganas'.
Israel menyedari dua bot itu sudah memulakan pelayaran dengan membawa aktivis dari Ireland, Kanada dan Amerika Syarikat (AS), kata Leibovich yang menggambarkan perjalanan mereka sebagai satu 'provokasi'.
Katanya, mereka masih jauh dari pantai Israel dan Gaza.
Israel bersedia untuk memunggah sebarang bekalan bantuan di dalam bot layar itu dan menghantarnya ke Gaza, kata jurucakap itu.
Tentera laut Israel bersiap sedia untuk menghubungi flotila itu dan 'sudah mengambil segala persiapan perlu bagi menghalang mereka daripada memasuki perairan Genting Gaza'.
Sebelum itu seorang pegawai kerajaan Zionis itu berkata, Israel akan mengambil apa jua langkah yang perlu untuk mempertahankan sekatannya.
Komando Israel membunuh sembilan aktivis Turki di dalam sebuah kapal yang menyertai flotila bantuan ke Gaza pada tahun lepas apabila mereka cuba mengambil alih kapal itu bagi menguatkuasakan sekatan maritim.
Israel mengenakan sekatan ke atas Gaza sejak Hamas merampas kuasa di wilayah itu pada 2007, selepas menumpaskan pasukan keselamatan yang setia kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. - Reuters

No comments:

Post a Comment