Pages

Tuesday, November 29, 2011

Israel tangguh roboh laluan ke Al-Aqsa



Laluan jalan kaki diperbuat daripada kayu (bawah) dari Tembok Barat ke kawasan suci di mana terletak Masjid Al-Aqsa dan Tembok Kota Lama dapat dilihat dari bandar Baitulmaqdis Lama. Netanyahu menangguhkan kerja-kerja merobohkan laluan mendaki itu ke Masjid Al-Aqsa kerana bimbang tercetus bantahan di kalangan penduduk Islam. - Reuters


BAITULMAQDIS 28 Nov. - Israel dilapor menangguhkan kerja-kerja merobohkan laluan (mendaki) ke Masjid al-Aqsa di sini, berikutan kebimbangan meletusnya gelombang bantahan di dunia Arab dan Islam.

Sebuah stesen radio semalam melaporkan, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengambil keputusan tersebut bagi mengelakkan berlaku protes anti-Israel di Mesir ketika negara jirannya itu mengadakan pilihan raya Parlimen pertama hari ini selepas kejatuhan rejim Hosni Mubarak.

Majlis Perbandaran Baitulmaqdis pada 23 Oktober lalu melaporkan, ia diarah merobohkan laluan berkenaan.

Struktur kayu yang juga sebahagian daripada plaza yang menempatkan Masjid al-Aqsa dan luar tembok kota lama itu telah lama menjadi punca pertelingkahan antara Majlis Perbandaran Baitulmaqdis dengan masyarakat Islam serta Yahudi.

Laluan tersebut dibina dari tembok kota lama (tapak suci Yahudi), bersambung ke kawasan yang menempatkan Masjid al-Aqsa, kawasan ketiga paling suci bagi umat Islam yang juga dikenali sebagai Haram al-Sharif.

Ia dibina pada 2004 sebagai laluan sementara selepas struktur sebelum ini roboh dan digunakan oleh pelawat bukan Islam serta tentera Israel untuk memasuki kawasan kota lama.

Kerja-kerja membaik pulih laluan tersebut terhalang ekoran isu sensitif di tapak berkenaan yang turut dituntut pemantau plaza, Islamic Waqf.

Operasi membaik pulih itu tertangguh empat tahun lalu berikutan satu gelombang bantahan di seluruh negara Islam berhubung kebimbangan kerja-kerja pembinaan itu mungkin membahayakan struktur terbabit. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment