Pages

Monday, November 28, 2011

Iran undi usir Duta Britain




2011/11/28

Reaksi balas sekatan Barat berkait program nuklear negara itu

TEHRAN: Parlimen Iran semalam mengundi untuk mengusir Duta Britain sebagai reaksi balas pelaksanaan sekatan terbaru Barat berhubung program nuklear negara itu.

Majoriti 179 ahli parlimen mengundi menyokong usaha mengurangkan hubungan diplomatik dengan utusan bawahan dalam masa dua minggu dan menyeimbangkan hubungan ekonomi dengan Britain ke paras minimum, menurut siaran langsung menerusi radio.
Empat wakil mengundi menentang dan 11 lagi berkecuali.
Ahli parlimen turut menimbang kemungkinan ‘menghukum’ negara lain yang mengambil pendirian seperti Britain.

“Rang undang-undang ini cuma satu permulaan,” kata Speaker Parlimen, Ali Larijani.

Rang undang-undang itu akan dikemukakan kepada Majlis Pengawal Perlembagaan Iran untuk kelulusan sebelum dikuatkuasakan.

Selepas rang undang-undang Parlimen itu diperkenalkan Rabu lalu, Britain berkata, ia kesal jika dutanya ke Tehran, Dominick Chilcott, yang baru menyandang jawatan bulan lalu diusir.
Britain, pada 14 November lalu berkata ia menamatkan semua hubungan sistem kewangannya dengan sistem kewangan Iran. Langkah berkenaan, yang diumumkan selari sekatan diambil Amerika Syarikat dan Kanada, dibuat seminggu selepas laporan pemantau kuasa atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan dengan tegas Tehran sedang membuat penyelidikan senjata nuklear.

Britain dan Kanada mempunyai kedutaan di Iran. Amerika menutup kedutaannya di negara itu selepas penuntut menjadikan diplomatnya sebagai tebusan dalam revolusi Iran 1979. Iran menyangkal laporan PBB itu dan menegaskan program nuklearnya untuk tujuan aman.

“Kami percaya adalah penting untuk mengekalkan wakil kanan komunikasi terutama pada waktu seperti ini. Hanya menerusi dialog kita dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi,” kata jurucakap Pejabat Luar dan Komanwel Britain.

Penulis rang itu, Allaeddin Boroujerdi, yang mengetuai keselamatan kebangsaan Parlimen dan suruhanjaya dasar luar, berkata: “Jika Britain mengurangkan pendekatan seteru terhadap Iran, kami boleh menjalin hubungan sekali lagi.” – AFP
Berita Harian Online | Iran undi usir Duta Britain:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment