Pages

Monday, November 7, 2011

Hajat buat ibadah korban berkecai



ANGGOTA polis memeriksa Toyota Innova yang mengorbankan tiga beranak dalam kemalangan di Kilometer 244.9, Lebuh Raya Pantai Timur dekat Jabor kelmarin.


KUANTAN - "Harapan saya untuk menjalankan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini musnah ekoran kemalangan yang meragut nyawa tiga ahli keluarga saya."

Demikian luahan Abdullah Muda, 66, bapa kepada Maliki Abdullah, 47, seorang juruteknik kilang yang maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova dipandunya terlibat dalam kemalangan pada pukul 3.15 petang di Kilometer 244.9, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Jabor di sini kelmarin.

Turut kehilangan nyawa dalam tragedi itu ialah anak Maliki, Nur Izzati, 21, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Muhammad Hafiz, 6.

Isteri Maliki, Norehan Abu Bakar, 43, dan seorang lagi anak pasangan itu, Mohd. Sufian, 15, cedera parah dan mereka masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Seorang lagi anak pasangan itu, Mohd. Afzan, 18, hanya cedera ringan. Enam sekeluarga itu menetap di Shah Alam, Selangor.

Abdullah memberitahu, berikutan tragedi yang berlaku itu, dia terpaksa membatalkan ibadah korban lembu yang dirancang pada hari semalam.

"Pak cik sudah menyediakan seekor lembu untuk dijadikan korban yang dikongsi bersama dalam kalangan ahli keluarga pada hari raya ini.

"Hendak buat macam mana ia terpaksa dibatalkan kerana kemalangan ini. Bagi pak cik, ini hanyalah satu ujian dalam hidup dan kami perlu reda dengan ketentuan-Nya," kata Abdullah ketika ditemui di rumah mayat HTAA di sini kelmarin.

Mencerita lanjut, Abdullah berkata, sebelum kejadian, anak sulungnya itu juga bagaikan memberi petanda aneh apabila dia tidak menelefon memberitahu ingin pulang ke kampung seperti lazimnya.

"Biasanya Maliki akan menghubungi pak cik di kampung beberapa hari sebelum dia mahu pulang beraya. Tetapi kali ini dia tidak berbuat demikian.

"Saya juga tidak menghubungi Maliki kerana menganggap dia tidak pulang. Adik-beradiknya semua pulang ke kampung kerana pak cik mahu mengadakan ibadah korban tahun ini," katanya yang bertemu Maliki kali terakhir pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

Menurut Abdullah, dia mengetahui Maliki sekeluarga terlibat dalam kemalangan apabila dihubungi oleh salah seorang anak Allahyarham yang tidak mengikutnya pulang ke kampung.

"Dalam pukul 3.30 petang, pak cik amat terkejut apabila mendapat panggilan memberitahu Maliki sekeluarga kemalangan dan kami bergegas dari Terengganu ke HTAA untuk melihat keadaannya," katanya.

Difahamkan, jenazah tiga mangsa tersebut telah dibawa pulang ke Kampung Tasik, Bukit Payung di Terengganu malam kelmarin untuk dikebumikan.

Sementara itu, Pegawai Penguat Kuasa Pentadbiran Trafik Pahang, Asisten Supritendan Zainalabidin Othman berkata, ketika kemalangan, Toyota Innova yang dinaiki enam beranak itu dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke kampung mereka di Bukit Payung, Terengganu.

"Sampai di tempat kejadian, Toyota Innova dipandu Maliki terbabas sebelum melanggar besi penghadang lebuh raya itu.

"Semua mangsa dalam kenderaan tercampak keluar. Maliki bersama dua anaknya iaitu Nur Izzati dan Muhammad Hafiz maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut beliau, tiga lagi mangsa iaitu Norehan dan seorang anaknya cedera parah manakala seorang lagi cedera ringan.

Zainalabidin memberitahu, tragedi menjelang Aidiladha itu dipercayai berlaku akibat tayar Toyota Innova terbabit pecah sebelum terbabas lalu melanggar besi penghadang lebuh raya.

Kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment