Pages

Thursday, November 3, 2011

Firma China, India cenderung beri rasuah



BERLIN 2 Nov. - Firma China dan Rusia berkemungkinan paling tinggi untuk memberi rasuah ketika melakukan operasi di luar negara, berdasarkan indeks terbaru 'Pemberi Rasuah' oleh sebuah badan anti-rasuah di sini.
Badan itu, Transparency International berkata, sektor paling banyak berlakunya penyelewengan adalah sektor pembinaan dan pemberian kontrak infrastruktur awam.
Firma China dan Rusia berada di tangga terbawah iaitu masing-masing tempat ke-27 dan ke-28 dalam indeks 2011 yang diterbitkan hari ini.
Firma Belanda, Switzerland, Belgium, Jerman dan Jepun berada di tangga teratas manakala Britain dan Amerika Syarikat masing-masing di tangga kelapan dan kesembilan.
Malaysia, Hong Kong, Itali dan Afrika Selatan masing-masing berada di tangga ke-15 dengan indeks 7.6.
Badan anti-rasuah itu berkata, tiada satu pun daripada 28 negara yang ditinjau termasuk semua negara anggota Kumpulan 20 (G20) dilihat bersih sepenuhnya daripada rasuah dan hanya jumlah kecil negara berjaya membuat perubahan besar sejak indeks rasuah 2008.
''India paling tinggi bertambah baik dengan peningkatan 0.7 tetapi negara itu masih berada tangga bawah carta. Kanada dan United Kingdom pula menyaksikan penurunan paling ketara dengan -0.3,'' kata laporan itu.
Badan anti-rasuah itu menyoal 3,016 eksekutif perniagaan di 30 negara yang dipilih berdasarkan pelaburan dan eksport luar selain kepentingan mereka di peringkat wilayah berhubung sejauh mana syarikat berpangkalan di beberapa buah negara terlibat dalam rasuah.
Pemarkahan dibuat berdasarkan maklum balas para eksekutif iaitu markah 0 bermaksud mereka sentiasa beri rasuah dan markah 10 bermakna mereka tidak berbuat demikian.
Transparency International menggesa semua negara melaksanakan konvensyen terhadap rasuah yang dinaungi oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU).
''Negara anggota G20 yang akan bertemu di Cannes pada minggu ini perlu meletakkan isu berkenaan sebagai perkara paling penting untuk ditangani,'' kata wakil badan anti-rasuah itu, Huguette Labelle dalam satu kenyataan. - Reuters

No comments:

Post a Comment