Pages

Saturday, November 12, 2011

Dikubur pasir

REMUK...treler dan bas yang terbabit kemalangan di tempat kejadian, semalam.
REMUK...treler dan bas yang terbabit kemalangan di tempat kejadian, semalam.
SUGUL...Zaidi (dua dari kanan)   melihat jenazah anaknya di tempat kejadian.
SUGUL...Zaidi (dua dari kanan) melihat jenazah anaknya di tempat kejadian.

SLIM RIVER: Usaha seorang bapa, Zaidi Muhammad, 43, menjejak anaknya yang ‘ghaib’ sejurus tragedi bas sekolah dirempuh treler membawa lima tan pasir di sini, semalam, berakhir hiba apabila pelajar itu ditemui sudah meninggal dunia di bawah timbunan pasir setinggi dua meter kira-kira enam jam selepas nahas.

Maysarra Zaidi, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah, antara empat yang terkorban dalam kemalangan pada jam 4.45 pagi di Kilometer 382, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Behrang, di sini.


Tiga lagi mangsa ialah rakan sekolah Maysarra, Khairul Anwar Azhan, 15, guru mereka, Siti Hajar Mohamed, 33, dan Ketua Wanita Umno Cawangan Alor Teja, Alor Setar, Basarah Saad, 45, yang cuba membantu kumpulan pelajar berkenaan selepas bas mereka terbalik.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintenden Md Tahir Kasim, berkata Maysarra, Khairul Anwar dan Siti Hajar antara 60 pelajar dan tujuh guru yang menyertai rombongan ke ibu negara dengan menaiki dua bas, namun satu lagi bas tidak terbabit kemalangan itu.


“Basarah menaiki bas lain bersama rombongan Wanita Umno Kedah dalam perjalanan menghadiri satu program di Tanjung Karang, Selangor. “Bas itu berhenti di tempat kejadian atas permintaan Basarah yang mahu menghulurkan bantuan, namun dia yang juga ibu tunggal tiga anak menemui ajal apabila dirempuh treler terbabit,” katanya.


Sementara itu, kehilangan Maysarra bermula apabila ayah dan abangnya, Faiz Zaidi, 16, yang bergegas dari rumah mereka di Taman Angsana, Kulim, gagal mengesan pelajar itu di Hospital Slim River (HSR) Zaidi yang juga juruteknik di sebuah institut kemahiran di Kulim dan Faiz hampa serta kebingungan apabila mendapati nama Maysarra tiada dalam senarai mangsa cedera atau terkorban.

Berikutan itu, dua beranak berkenaan ke lokasi kejadian untuk mencari jawapan kehilangan anaknya. Hanya kira-kira setengah jam kemudian, baru mereka dimaklumkan mayat Maysarra ditemui di bawah timbunan pasir pada jam 10.45 pagi semalam.


Difahamkan, sebelum itu anggota penyelamat tidak menyedari ada mangsa tertimbus di bawah timbunan pasir di situ serta menyangka semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera sudah dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Ketika ditemui wartawan di HSR selepas itu, Zaidi yang ditemani isterinya, Mazylina Abdullah, 35, enggan ditemu bual kerana terlalu sedih dengan kematian anaknya, sebaliknya hanya menitiskan air mata.


Namun, Faiz memberitahu adiknya harapan keluarga kerana memperoleh 8A dalam ujian percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini. “Dia sangat rajin belajar, malah antara pelajar harapan di sekolahnya untuk mencapai keputusan cemerlang dalam PMR tahun ini,” katanya.


Faiz berkata, tiada perubahan ketara dilihat pada adiknya sebelum ini, malah arwah kelihatan tidak sabar untuk mengikuti rombongan berkenaan. “Ini rombongan kedua arwah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Forensik HSR di sini, semalam.


Jenazah Maysarra dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Teja, Alor Setar, Kedah.

myMetro | Dikubur pasir:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment