Pages

Tuesday, November 22, 2011

Dataran Tahrir kembali berdarah


SUASANA Dataran Tahrir, Kaherah malam semalam yang dipenuhi penunjuk perasaan yang cuba disuraikan oleh pasukan polis antirusuhan.


KAHERAH - Kekacauan di Mesir bertambah buruk selepas sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh setakat semalam semasa pasukan keselamatan cuba menyuraikan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir di sini.

Perkembangan itu mencetuskan kesangsian berhubung pilihan raya pertama Mesir yang bakal diadakan selepas kejatuhan Presiden Hosni Mubarak.

Polis dan tentera menggunakan belantan, gas pemedih mata dan peluru penabur untuk mengosongkan dataran berkenaan yang menjadi lokasi perhimpunan ribuan penunjuk perasaan menuntut junta tentera Mesir mengembalikan kuasa kepada pemerintahan awam.

Kekacauan kelmarin menyusul selepas beribu-ribu orang berhimpun di dataran berkenaan pada Jumaat lalu.

"Seramai 22 orang maut dalam keganasan di Dataran Tahrir dan beberapa wilayah lain," kata seorang pegawai Kementerian Kesihatan Mesir yang dipetik oleh agensi berita MENA.

Kementerian sama turut memberitahu, lebih 324 orang cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan. Terdahulu, ketua hospital ldi Dataran Tahrir, Dr. Mohammed Fatuh mengesahkan kepada agensi berita AFP bahawa tiga lagi mayat dibawa masuk dengan kesan peluru hidup pada badan mereka.

Pasukan perubatan sebelum ini melaporkan empat kematian, seorang maut ditembak. Sementara tiga yang lain sesak nafas akibat terhidu asap gas pemedih mata.

Cubaan polis dan tentera untuk menawan dataran itu ditentang hebat oleh penunjuk perasaan yang kembali menawan lokasi berkenaan kelmarin.


SEKUMPULAN penunjuk perasaan membantu seorang wartawan yang cedera, Maher Malak di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


Setakat semalam, kekacauan di Dataran Tahrir masih berlarutan. Dataran itu merupakan simbol kepada kebangkitan rakyat yang memaksa Mubarak meletak jawatan pada Februari lalu.

Seorang wartawan AFP memberitahu kelmarin, dia melihat beberapa penunjuk perasaan membaling batu dan bom petrol ke arah kereta perisai tentera dan anggota polis anti rusuhan.

Menurutnya, polis membalas dengan menembak peluru getah. Apabila sebahagian penunjuk perasaan mula melarikan diri, katanya, sebahagian lain menjerit "Bertahan! Bertahan!" dan "Kami tidak akan berundur!"

Sementara itu, agensi berita Mena melaporkan, satu perarakan pengebumian seorang mangsa kekerasan polis di Iskandariah bertukar menjadi pertempuran selepas pihak berkuasa menembak gas pemedih mata ke arah orang ramai yang menyertai perarakan tersebut.

Di bandar terusan Suez pula, pasukan tentera menembak peluru hidup untuk menghalang kumpulan penunjuk perasaan daripada menyerbu sebuah balai polis.

Bantahan turut merebak di dua buah bandar raya di tengah Mesir iaitu Qena dan Assiut, kata seorang pegawai keselamatan. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment