Pages

Tuesday, November 8, 2011

Buta cinta punca wanita diperbodoh


KUALA LUMPUR 7 Nov. - Sifat tamak dan buta cinta menjadi antara faktor utama wanita Malaysia khususnya mudah diperbodohkan oleh sindiket warga Afrika yang menjalankan kegiatan penipuan kiriman bungkusan.

Pensyarah Kriminologi Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. P. Sundramoorthy percaya Malaysia adalah antara negara tertinggi terlibat dalam penipuan seumpama itu berdasarkan bilangan pengguna Internet yang banyak berbanding negara-negara lain.

"Jika dibandingkan dengan negara-negara Eropah sekalipun, negara kita masih berada di tahap atas. Ia belum lagi diambil kira dengan kes-kes yang tidak dilaporkan kepada polis," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas Laporan Khas Utusan Malaysia hari ini yang melaporkan semakin ramai pengguna Internet yang mudah 'diperbodohkan' oleh sindiket warga Afrika yang menjalankan kegiatan penipuan kiriman bungkusan dengan menjerat mangsa melalui cinta siber.

Statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan terdapat kira-kira 86 kes dilaporkan sebulan atau tiga kes setiap hari.

Sundramoorthy memberitahu, sifat semula jadi rakyat kita yang terlalu mudah mempercayai seseorang tanpa perasaan mencurigai memudahkan lagi pergerakan sindiket itu.

Menurutnya, kebanyakan mangsa yang terpedaya hanya sedar diri mereka tertipu setelah membuat beberapa bayaran sebagaimana yang diminta oleh sindiket tanpa mendapatkan bungkusan tersebut.

"Kita kena sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan kenalan melalui Internet.

"Sekiranya penipuan berlaku, peluang untuk mendapatkan wang yang ditipu adalah tipis dan mengesan penjenayah yang terlibat di alam siber adalah amat mencabar lebih-lebih melibatkan warga asing yang tidak menetap di dalam negara ini," katanya.

Sundramoorthy berkata, penipuan itu kebanyakannya melibatkan wanita berkerjaya, berpelajaran tinggi serta menguasai bahasa Inggeris yang baik.

Tidak kurang juga katanya, golongan lelaki turut menjadi mangsa penipuan tetapi jumlah mereka agak sedikit berbanding wanita.

Beliau menambah, trend penipuan itu semakin membimbangkan kerana bilangan mereka yang menjadi mangsa meningkat dari hari ke hari.

Katanya, dalam era langit terbuka adalah sukar untuk menyekat sebarang penipuan selagi mangsa itu sendiri tidak tersedar.

"Melalui pemantauan, sindiket tersebut biasanya akan berkenalan dengan mangsa melalui laman sosial seperti Facebook, Twitter dan e-mel. Sekali mangsa memberi respons kepada suspek, ia seolah-olah menggambarkan mangsa bersedia untuk berkomunikasi dengan sindiket terbabit.

"Pada tahap itu, sindiket tersebut hanya perlu mengambil sedikit masa untuk memujuk serta menyakinkan mangsa," jelasnya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment