Pages

Wednesday, November 23, 2011

Bekas penari Soekarno saman kerajaan Indonesia


Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA

JAKARTA 22 Nov. - Seorang wanita yang juga bekas penari Istana Presiden zaman pemerintahan Presiden Soekarno menyaman Kerajaan Indonesia yang didakwa merendahkan martabatnya.

Nona Nani Nurani yang berusia 70 tahun mendakwa, beliau menerima layanan diskriminasi selama berpuluh tahun kesan daripada Gerakan 30 September Parti Komunis Indonesia (PKI) 1965 yang juga dikenali sebagai Gestapu.

Nani yang menjadi penari di Istana Cipanas, Jawa Barat pernah meringkuk dalam penjara selama tujuh tahun kerana dituduh menyokong PKI selepas dia menari dalam satu acara ulang tahun parti berkenaan 46 tahun lalu.

Nani turut mendakwa, ketika itu dia cuma menjalankan tugasnya sebagai penari di Istana Cipanas dan bukan terlibat sebagai aktivis PKI.

Bagaimanapun, Nani disumbat ke penjara pada 23 Disember 1968 tanpa sebarang proses perbicaraan di mahkamah sebelum dibebaskan pada 19 November 1975.

Akhbar Media Indonesia hari ini melaporkan, keberanian Nani menyaman Kerajaan Indonesia dibuat semata-mata berlandaskan dasar perjuangan dan penderitaan yang dilalui selama puluhan tahun.

Dalam permohonan samannya itu juga, Nani menuntut ganti rugi material sebanyak Rupiah 7.4 bilion dan ganti rugi bukan material sebanyak Rupiah 30 juta.

Perbicaraan kes saman Nani ke atas Kerajaan Indonesia dibuat atas nama Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Mahkamah Daerah Jakarta Pusat itu, bermula semalam.

Menurut peguam Nani, Andi Muttaqien, anak guamnya telah menerima kesan buruk akibat diperlakukan dengan tindakan yang tidak adil oleh kerajaan selama berpuluh tahun termasuk dipenjarakan tanpa alasan yang jelas.

Lebih mengecewakan, kata Andi, anak guamnya juga seumur hidup merasakan penderitaan akibat stigma negatif PKI dan tindakan itu bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia.

Nani dalam laporan itu juga didakwa belum memperoleh hak untuk menjalani hidup seperti warga negara lain sejak dibebaskan dari penjara termasuk memiliki Kad Tanda Pengenalan (KTP) bagi mengesahkan status kependudukannya.

Nani juga sebelum ini pernah menyaman Penghulu Mukim Koja, Jakarta Utara pada tahun 2003 kerana enggan mengeluarkan KTP atas nama dirinya dan mahkamah memberi kemenangan padanya dalam kes saman itu. - Utusan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment