Pages

Tuesday, November 29, 2011

Banjir lumpur hempap bumbung

TEMBOK  yang dibina pemaju rapat dengan rumah penduduk di  Kampung Melayu Tambahan Batu 16, Rawang.
TEMBOK yang dibina pemaju rapat dengan rumah penduduk di Kampung Melayu Tambahan Batu 16, Rawang.
Penduduk bimbang tanah runtuh berikutan tembok projek himpit rumah

RAWANG: Tujuh keluarga trauma setiap kali hujan lebat kerana ia akan menyebabkan kediaman mereka di Jalan Sepakat, Kampung Melayu Tambahan, Batu 16, di sini, dilanda banjir lumpur.

Kejadian yang setakat ini sudah berlaku tiga kali pernah hampir meragut nyawa mereka apabila air bercampur lumpur, batu, kayu dan besi yang mengalir laju dari atas bukit di kawasan projek perumahan berhampiran menghempap bumbung rumah mereka sebelum banjir.
Yang pertama berlaku pada 28 Oktober lalu, kira-kira 6.30 petang selepas hujan lebat dan mangsa menyifatkan kejadian itu bagaikan tsunami kecil.
Lebih malang, belum pun habis kerja pembersihan kesan lumpur dan kerosakan lain dijalankan, kejadian yang cukup menakutkan itu berulang lagi pada 11 November kira-kira jam 10 pagi dan 17 November lalu pada 4 petang.

Ahmad Hadzer Daud, 50, berkata dalam kejadian pertama, beliau sekeluarga sedang sibuk membuat persiapan katering untuk kenduri kahwin apabila tiba-tiba terdengar bunyi benda menghempap atas bumbung rumahnya.

“Selepas itu, kami dapat melihat limpahan air lumpur yang laju dari arah tembok di belakang rumah.

“Ia seperti air terjun dan mengalir laju seperti anak sungai. Keadaan mencemaskan itu berlaku selama dua jam menyebabkan kami semua tidak berani duduk di dalam rumah.
“Habis semua peralatan memasak dan perabot rosak.

“Apa kami kesalkan, pemaju yang membangunkan kawasan di atas bukit berhampiran seolah-olah lepas tangan sedangkan rumah saya retak teruk manakala peralatan memasak, katering, pakaian dan perabot di dalam rumah turut rosak,” katanya kepada Sentral.

Seorang lagi mangsa, Shuib Abu Seman, 48, berkata sejak pemaju meratakan kawasan bukit di belakang rumah mereka setahun lalu untuk projek perumahan, pelbagai masalah dialami penduduk termasuk pencemaran udara, bunyi dan paling teruk rumah mereka mengalami retak di sana sini, selain banjir lumpur.

“Tembok setinggi empat meter dengan panjang hampir satu kilometer yang didirikan pemaju, terletak di atas sempadan rizab dan terlalu hampir dengan rumah penduduk.

“Malah ada menghimpit bumbung rumah penduduk. Paling menakutkan, ada beberapa kesan keretakan pada tembok batu yang boleh menyebabkan tembok berkenaan jatuh di atas bumbung rumah penduduk pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata, penduduk sudah beberapa kali berbincang dengan pemaju untuk menuntut pampasan dan mereka bersetuju membayar mengikut kerugian dialami ketika perbincangan dijalankan pada hari kejadian pertama.

Bagaimanapun, selepas seminggu, pemaju bertukar fikiran dan mengatakan akan membayar RM1,000 saja untuk setiap keluarga sebagai bayaran ganti rugi.

Beliau juga kesal kerana bantuan yang dimohon daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Majlis Majlis Perbandaran Selayang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Gan Pei Nei tidak dilayan.
Berita Harian Online | Banjir lumpur hempap bumbung:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment