Pages

Tuesday, November 1, 2011

bakal popular Bakun



EMPANGAN gergasi di tengah-tengah hutan negeri Sarawak ini bakal menjadi tarikan pelancongan negara sama seperti Tasik Kenyir di Terengganu.


ENJIN turbin pertama sedang berputar ligat. Tenaga elektrik turut terhasil. Paras air di Empangan Elektrik Hidro Bakun yang terletak di tengah-tengah hutan di Sarawak turut naik.

Empangan gergasi itu dianggarkan bernilai RM7 bilion.

Turbin pertama yang dibina oleh syarikat gergasi tenaga, Alstom, dari Perancis itu mula menghasilkan tenaga elektrik sejak beroperasi pada Ogos lalu.

Takungan airnya mula merebak menjadi sebesar saiz negara Singapura.

Sungai Balui

Selepas dikritik dan diberi amaran pada beberapa tahun lalu mengenai impak projek itu ke atas hutan dara dan pemindahan etnik tempatan di negeri itu, Pengarah Urusan Sarawak Hidro, Zulkifle Osman mula melihat cahaya yang menyinar di hujung terowong.

Zulkifle yang memantau pembinaan projek itu sejak tahun 2000 mempertahankan rasional pembangunan itu biarpun berlaku lebihan tenaga elektrik.

"Ia adalah seperti permainan ayam dan telur. Saya yakin bahawa permintaan untuk tenaga elektrik di Sarawak sangat banyak," ujar Zulkifle.

Namun, mereka yang menentang projek Bakun itu menganggapnya sebagai satu perancangan yang salah.

Fasiliti itu terletak di Sungai Balui. Lembangan itu turut menjadi kediaman kepada Orang Utan, harimau bintang serta pelbagai spesies flora dan fauna yang lain.

Projek itu dimuktamadkan pada tahun 1986 ketika pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ia adalah sebagai usaha untuk menyalurkan tenaga elektrik murah ke Semenanjung.

Buat masa ini, penduduk yang tinggal di sekitar kawasan empangan yang dikatakan antara tertinggi di dunia iaitu pada paras 205 meter itu sudah ada yang menerima tempiasnya.

Menurut mereka, kualiti air sungai telah merosot. Ikan juga semakin berkurangan selain sungai berbau busuk manakala airnya dikhuatiri tidak selamat diminum.

Empangan itu nampaknya memberi kesan buruk buat kaum pribumi apabila banyak kelodak yang muncul.

Sambil menaiki bot di Kampung Uma Nyaving yang terletak kira-kira 10 kilometer ke hilir Bakun, Richard Let merungut kerana jumlah ikan sungai semakin berkurangan.

"Rezeki untuk kami sekeluarga sudah merosot. Saiz ikan juga tidak besar. Sungai semakin cetek dan begitu sukar untuk saya menangkapnya," kata Let, 31, dari suku Kayan.

Pelancongan


BAKUN merupakan empangan kedua tertinggi di Asia selepas Empangan Shibiyanu di China.


Dari empangan hingga ke muara sungai, terdapat kira-kira 12,000 penduduk tempatan yang terdiri daripada pelbagai etnik termasuklah Kayan, Kenyah, Ukit dan Penan yang tinggal di rumah panjang. Kesemua mereka masih mengamalkan gaya hidup tradisional di Sungai Asap.

Sungai Asap merupakan penempatan baharu buat penduduk tempatan untuk tinggal selepas projek itu dimulakan.

Biarpun di dalam hutan, mereka menikmati kemudahan air paip, elektrik, sekolah, sambungan Internet dan kemudahan kesihatan di situ.

Di sebalik semua itu, Zulkifle masih optimis.

"Saya yakin bahawa tenaga dari Bakun akan berguna. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sedang berusaha keras untuk menarik pelabur," ujar beliau.

Zulkifle turut menolak kebimbangan mengenai keselamatan di empangan batu yang terbesar di dunia itu.

Jelasnya, air yang dilepaskan itu adalah yang dirawat untuk memastikan ia bersih.

Dalam pada itu, selain membekalkan tenaga elektrik, empangan itu dirancang untuk dijadikan produk pelancongan baharu negara ini khusus bagi mereka yang meminati alam semula jadi.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan bagi mempromosi empangan itu sama seperti yang dilakukan terhadap Tasik Kenyir yang kini menjadi antara tarikan utama negara dalam bidang ekopelancongan.

"Tidak mustahil empangan ini akan menjadi popular sama seperti Tasik Kenyir," katanya.

Kosmo! Online - Rencana Utama:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment