Pages

Wednesday, November 23, 2011

Anggota polis terbunuh dalam kejadian langgar lari

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat sarjan maut dalam kejadian langgar lari di Jalan Syed Putra berhampiran Pusat Beli Belah Mid Valley Megamall di sini, awal pagi semalam.

Ketika kejadian jam 6.40 pagi itu, Md Nor Shukor, 57, yang bertugas di Cawangan Risikan dan Operasi (D4) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, dikatakan dalam perjalanan ke pejabatnya untuk menghadiri mesyuarat.
Mangsa yang berasal dari Alor Gajah, Melaka dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang dipandu laju dari arah belakang. Mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian yang menimpa anggotanya supaya tampil untuk membantu siasatan.

“Pihak kami menyerahkan siasatan kepada Polis Trafik Kuala Lumpur dan sehingga kini mengklasifikasikan kes itu sebagai langgar lari,” katanya.

Isteri mangsa, Noriyati Yaakob, 54, ketika ditemui di Masjid Jamiul Al-Ehsan tidak mampu berkata apa-apa, hanya menangis di sisi jenazah suaminya dalam van jenazah untuk dibawa pulang ke kampung dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Labu, Negeri Sembilan.

Di JOHOR, seorang anggota polis yang sedang membuat rondaan bersama pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS), parah selepas dilanggar seorang penunggang motosikal ketika melarikan diri daripada sekatan polis di Parit Bunga, Ledang, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Mohd Angawam Maikon, 52, dari Balai Polis Parit Bunga, bersama beberapa anggota SRS Parit Bunga dikatakan sedang meronda di kawasan berkenaan apabila terserempak dengan seorang penunggang motosikal yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya dengan melawan arus.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Muhammad Salleh Abd Razak, berkata suspek yang datang dari arah Jambatan Kedua Muar menghala ke Sungai Mati dikatakan berpatah balik selepas menyedari sekatan jalan raya dilakukan pihaknya.

Katanya, pada masa sama mangsa bersama beberapa anggota SRS Parit Bunga melakukan rondaan di tepi jalan menyebabkan beliau meminta suspek berhenti, bagaimanapun penunggang motosikal itu terus memecut motosikalnya sebelum melanggar anggota polis berkenaan.

“Mangsa yang terjatuh dan mengalami cedera di kaki dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan doktor mengesahkan kakinya patah," katanya, di sini, semalam.

Katanya, anggota polis itu kini ditempatkan di HPSF untuk rawatan lanjut, manakala usaha dijalankan bagi mengesan penunggang motosikal berkenaan.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika anggota polis dari Balai Polis Parit Bunga bersama anggota SRS melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.
Berita Harian Online | Anggota polis terbunuh dalam kejadian langgar lari:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment